Anggota polis terlibat kes maut remaja bermotosikal ditahan
MELAKA: Seorang anggota polis berpangkat koperal ditahan bagi membantu siasatan kes kemalangan maut membabitkan remaja penunggang motosikal dengan kenderaan polis, kelmarin.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah, memaklumkan anggota tugas ronda cegah jenayah Balai Polis Durian Tunggal itu ditahan di Pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah pada jam 9 pagi tadi.
Beliau berkata, ketika ini rakaman percakapan masih dijalankan dan polis menunggu reaksi serta kerjasama daripada anggota berusia 37 tahun itu.
“Ujian saringan awal air kencing turut dijalankan dan hasilnya anggota berkenaan bebas daripada sebarang penyalahgunaan dadah,” katanya menurut laporan BH Online.
Sementara itu, Zainol berkata, setakat ini pihaknya menerima enam laporan berkaitan insiden berkenaan dan tiga rakaman percakapan daripada saksi dan ahli keluarga mangsa sudah dilengkapkan.
Beliau berkata, berikutan mangsa penunggang motosikal terbabit disahkan meninggal dunia di Hospital Melaka pada jam 12.37 tengah malam semalam, kes itu diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana kesalahan memandu hingga menyebabkan kematian.
“Jika disabitkan seksyen ini memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 hingga RM50,000,” katanya.
Beliau mengulangi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara telus dan profesional serta berharap agar orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat kejadian dapat menghubungi ketua bahagian siasatan dan penguatkuasaan trafik, IPD Alor Gajah di talian 06-5563222 bagi membantu siasatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






