Anggota pengiring Agong maut kemalangan, KPN hadir beri penghormatan terakhir
HULU SELANGOR – Suasana pilu menyelubungi Unit Forensik, Hospital Kuala Kubu Baharu, hari ini apabila Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail menziarahi jenazah Allahyarham Koperal Muhammad Faizal Ab. Razak, anggota Pengiring Bermotosikal Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang maut dalam kemalangan jalan raya awal pagi tadi.
Allahyarham Muhammad Faizal, 32, meninggal dunia akibat kecederaan parah selepas motosikal yang ditungganginya terbabas ketika cuba mengelak sebatang pokok tumbang di Jalan Sungai Tua, Ulu Yam, kira-kira pukul 7.10 pagi.
Mangsa difahamkan dalam perjalanan dari Batang Kali ke tempat kerja di Kuala Lumpur.
Dalam kunjungan itu, Mohd. Khalid turut menzahirkan ucapan takziah serta menyampaikan sumbangan kepada ahli keluarga arwah sebagai tanda keprihatinan dan sokongan moral.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri; Pengarah Pengurusan, Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid serta Timbalan Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Mohd Zaini Abu Hassan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ibrahim Husin berkata, siasatan awal mendapati motosikal mangsa hilang kawalan sebelum terbabas ke lorong bertentangan.
Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuantan, Batang Kali.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








