
Ancaman terhadap pemain badminton tidak boleh diterima – BAM
KUALA LUMPUR – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memberi amaran keras kepada peminat agar tidak mengeluarkan sebarang bentuk ancaman terhadap pemain badminton negara, susulan insiden ancaman menggunakan senjata tajam terhadap pemain beregu lelaki profesional, Teo Ee Yi.
Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata, badan induk itu memandang serius isu berkenaan dan menegaskan sebarang bentuk ugutan, intimidasi atau perlakuan kasar, khususnya yang melibatkan unsur keganasan, adalah sama sekali tidak boleh diterima.
“BAM tidak akan bertolak ansur dengan sebarang ancaman atau tingkah laku berunsur keganasan, sama ada terhadap pemain kebangsaan mahupun pemain profesional,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ancaman tersebut dipercayai dibuat oleh seorang individu di media sosial yang mengugut untuk mencederakan tangan Ee Yi menggunakan pisau, selain mendesak beliau dan pasangannya, Ong Yew Sin, supaya bersara daripada badminton selepas gagal melepasi pusingan pertama dalam tiga kejohanan awal tahun ini.
Menurut laporan, pasangan beregu ranking ke-35 dunia itu tersingkir awal pada Terbuka Malaysia, Terbuka India dan Masters Indonesia, sekali gus mencetuskan reaksi melampau daripada individu berkenaan.
Kenny berkata, peminat berhak memberi pandangan atau kritikan, namun ia perlu dilakukan secara berhemah dan bertanggungjawab.
“Kritikan seharusnya bersifat membina, bukan menghina atau mengancam. Atlet juga manusia dan mereka berhak dihormati,” katanya lagi.
Beliau turut berkata, sebarang isu melibatkan ancaman perlu diserahkan kepada pihak berkuasa berkaitan untuk tindakan lanjut, terutama berkaitan penyalahgunaan platform digital.
Dalam perkembangan berkaitan, Kenny berkata beberapa pemain BAM turut pernah berdepan ugutan dan gangguan siber sebelum ini, termasuk ancaman bunuh yang diterima menerusi akaun palsu di media sosial.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil langkah tegas bagi membanteras budaya buli siber dan melindungi keselamatan atlet negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








