Anak Puteri Mahkota Norway dipenjara empat tahun selepas disabit kes rogol
OSLO – Anak lelaki Puteri Mahkota Norway, Marius Borg Hoiby, 29, dijatuhkan hukuman penjara empat tahun selepas disabitkan atas dua pertuduhan rogol dan beberapa kesalahan jenayah dalam kes berprofil tinggi di negara itu.
Mahkamah Oslo membuat keputusan tersebut terhadap Hoiby yang merupakan anak Mette-Marit daripada perkahwinan terdahulunya sebelum beliau berkahwin dengan Putera Mahkota Haakon pada 2001.
Agensi berita antarabangsa melaporkan, dalam perbicaraan itu, Hoiby berdepan lebih 40 pertuduhan termasuk rogol, keganasan rumah tangga, ugutan serta pelbagai kesalahan lain yang secara keseluruhannya boleh membawa hukuman maksimum sehingga 16 tahun penjara.
Salah satu kesalahan rogol yang menyebabkan beliau disabitkan dilaporkan berlaku di kediaman rasmi pasangan Putera Mahkota Norway pada 2018.
Bagaimanapun, beliau dibebaskan daripada dua lagi pertuduhan rogol yang turut dikemukakan pihak pendakwaan.
Sebelum ini, pihak pendakwa raya memohon hukuman penjara selama tujuh tahun terhadap Hoiby, manakala pasukan pembelaannya meminta hukuman lebih ringan iaitu 18 bulan penjara bagi kesalahan yang diakuinya termasuk memiliki dan mengangkut 3.5 kilogram ganja, melakukan serangan fizikal serta ugutan.
Sepanjang perbicaraan, Hoiby menafikan pertuduhan paling serius termasuk dakwaan rogol yang menurut pihak pendakwa berlaku ketika mangsa sedang tidur atau tidak sedarkan diri, selain menolak tuduhan keganasan rumah tangga.
Hoiby yang tidak mempunyai sebarang gelaran diraja rasmi dan bukan anggota keluarga diraja Norway secara rasmi, telah ditahan sejak 1 Februari lalu.
Beliau tidak hadir secara fizikal di mahkamah ketika keputusan dijatuhkan atas alasan masalah kesihatan yang tidak didedahkan, namun mengikuti prosiding menerusi pautan video.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















