BERITA SEMASA

Aliran trafik di semua lebuh raya lancar, terkawal pagi ini – LLM

KUALA LUMPUR – Aliran trafik di kebanyakan lebuh raya utama menuju ke Lembah Klang dilaporkan masih lancar setakat pagi ini, namun kesesakan dijangka berlaku mulai tengah hari hingga malam berikutan orang ramai mula pulang selepas tamat cuti persekolahan.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, setakat ini pergerakan kenderaan di semua lebuh raya utama berada dalam keadaan terkawal.

Bagaimanapun, beliau menjangkakan peningkatan jumlah kenderaan secara berperingkat sepanjang hari ini apabila orang ramai kembali ke ibu kota selepas memanfaatkan cuti hujung minggu yang panjang sempena Hari Raya Aidiladha serta cuti penggal persekolahan.

“Aliran trafik masih lancar pada waktu pagi, namun dijangka mula sesak menjelang tengah hari hingga malam apabila pengguna lebuh raya mula pulang ke Lembah Klang,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya memandu dengan berhati-hati berikutan keadaan cuaca hujan yang dilaporkan di beberapa kawasan termasuk sekitar Lembah Klang dan wilayah selatan.

Selain itu, pengguna lebuh raya disaran merancang perjalanan lebih awal serta mendapatkan maklumat trafik terkini bagi mengelakkan terperangkap dalam kesesakan, terutama pada waktu puncak petang dan malam.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button