Aksi JDT-Chelsea diawalkan ke 9 Ogos
KUALA LUMPUR – Perlawanan persahabatan berprofil tinggi antara juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan kelab gergasi England, Chelsea FC akan berlangsung lebih awal daripada jadual asal apabila tarikh aksi tersebut dipinda kepada 9 Ogos ini.
Sebelum itu, perlawanan yang bakal berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim itu dijadualkan pada 11 Ogos, namun penganjur, TEG Sport memaklumkan perubahan tarikh dibuat atas persetujuan kedua-dua pasukan.
TEG Sport berkata, keputusan itu diambil bagi memberi lebih banyak masa kepada kedua-dua kelab membuat persiapan menghadapi musim baharu.
“Chelsea FC dan JDT menyambut baik perubahan jadual itu kerana ia memberi lebih masa kepada kedua-dua pasukan untuk membuat persiapan menjelang musim baharu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
TEG Sport turut berkata, semua tiket yang telah dibeli kekal sah untuk tarikh baharu dan penyokong tidak perlu membuat sebarang pertukaran atau kemas kini tiket.
“Pemegang tiket hanya perlu hadir ke stadium menggunakan tiket sedia ada pada 9 Ogos nanti.
Bagaimanapun, penyokong yang tidak dapat menghadiri perlawanan pada tarikh baharu itu boleh memohon bayaran balik penuh, termasuk harga asal tiket serta yuran kemudahan sebanyak tiga peratus.
“Permohonan bayaran balik boleh dibuat melalui e-mel kepada pihak penjual tiket sebelum 30 Jun ini dan proses pembayaran dijangka mengambil masa antara tujuh hingga 14 hari bekerja,” katanya lagi.
Terdahulu, perlawanan itu mendapat perhatian peminat bola sepak tempatan selepas Chelsea mengesahkan akan membawa barisan pemain utama mereka ke Malaysia sebagai sebahagian daripada persiapan pramusim menjelang kempen 2026/27.
Aksi tersebut turut memberi peluang kepada JDT menguji kemampuan menentang salah satu kelab elit Eropah di hadapan penyokong sendiri.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















