
Ajaran Millah Abraham dikesan di Perak
IPOH – Jabatan Mufti Negeri Perak (JMNPk) mengesahkan kewujudan gerakan ajaran sesat Millah Abraham di Perak.
Menurut Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim, walaupun gerakan itu bukan dalam skala besar, namun JMNPk merasakan adanya keperluan untuk membuat sekatan termasuk mewartakan fatwa mengenainya bagi mengelakkan ajaran itu merebak, lapor BH Online.
“Ajaran sesat itu memang dilaporkan ada di Perak namun untuk butiran lebih lanjut kena rujuk kepada Bahagian Penyelidikan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).
“Walaupun dalam skala kecil, kita perlu untuk membuat sekatan kerana tidak mustahil ia akan merebak. Bagi kami di Jabatan Mufti melihat benda ini kalau salah maka kita fatwakan ajaran itu salah.
“Peranan fatwa ini, di samping penguatkuasaan adalah untuk untuk memberikan penampan (penahan) kepada masyarakat yang tidak terbabit dengannya,” katanya selepas ditemui pemberita dalam program Ceramah Motivasi Kekeluargaan bersempena Majlis Anugerah dan Motivasi Kecemerlangan Pelajar Biasiswa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Syamsul Hazeman Md Salleh.
Ajaran Millah Abraham kerap diperkatakan kebelakangan ini apabila ia mula dilaporkan dikesan di beberapa negeri lain antaranya Negeri Sembilan dan Johor.
Antara fahaman menyimpang ajaran itu ialah ahlinya percaya sembelihan dibuat bukan ahli tidak sah, selain mempercayai kewujudan nabi baharu dan ada syahadah berbeza.
Mereka juga cuba menggabungkan tiga agama iaitu Yahudi, Nasrani dan Islam selain menghuraikan ajaran al-Quran berdasarkan fahaman mereka tanpa berdasarkan kitab tafsir.
Sebelum ini, media melaporkan beberapa pengikut ajaran itu selesai menjalani proses pendakwaan di mahkamah syariah selepas dipercayai cuba menyebarkan ajaran itu kepada ahli keluarga dan masyarakat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








