POLITIK

Ahmad Zahid yakin Sekolah Patriotik UMNO lahir generasi pelapis berpotensi

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin program Sekolah Patriotik UMNO mampu melahirkan generasi muda yang berpotensi besar untuk meneruskan perjuangan parti pada masa hadapan.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri program bersama peserta program tersebut baru-baru ini.

Ahmad Zahid berkata, kesungguhan serta komitmen yang ditunjukkan peserta memberi keyakinan bahawa generasi muda hari ini mampu menggalas tanggungjawab besar dalam memastikan kesinambungan perjuangan.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan peserta agar sentiasa berpegang kepada ilmu, adab serta prinsip dalam menempuh cabaran.

“Perjuangan ini tidak pernah mudah. Namun, jika berpegang teguh kepada nilai tersebut, di situlah terletaknya makna sebenar kepada diri dan perjuangan,” katanya yang sempat meluangkan masa menunaikan solat Subuh bersama peserta.

Beliau yang juga Presiden UMNO berharap lebih ramai golongan muda akan menyertai program berkenaan pada masa akan datang sebagai usaha memperkukuh jati diri dan semangat kepimpinan.

Sekolah Patriotik UMNO adalah inisiatif pendidikan politik dan kepimpinan yang diperkenalkan UMNO bagi melahirkan generasi pelapis parti yang berilmu, berdisiplin dan memahami asas perjuangan.

Program itu memberi pendedahan kepada golongan muda mengenai sejarah serta perjuangan parti, di samping membentuk kepimpinan, jati diri dan kemahiran komunikasi.

Peserta turut mengikuti pelbagai modul termasuk latihan kepimpinan, pengucapan awam serta pengisian kerohanian, selain berpeluang berinteraksi secara langsung dengan pemimpin tertinggi parti.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button