Ahli Pengakap berperanan sebagai ejen keamanan masyarakat
SUNGAI PETANI — Kira-kira 300,000 ahli Pengakap berdaftar di seluruh negara memainkan peranan penting sebagai ejen keamanan dalam usaha memupuk keharmonian, perpaduan dan nilai kemanusiaan dalam masyarakat.
Peranan ini adalah selaras dengan prinsip Pendidikan Keamanan yang ditekankan oleh Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM).
Ketua Pengakap Negara, Prof Datuk Dr Mohd Zin Bidin berkata, keamanan bukanlah sesuatu yang wujud secara kebetulan atau diwarisi secara automatik, sebaliknya merupakan satu proses yang diusahakan dan dibentuk melalui pendidikan, nilai serta kepimpinan berakhlak.
Menurut beliau, Pergerakan Pengakap menyediakan ekosistem pendidikan tidak formal yang berkesan untuk membentuk generasi muda yang berkeupayaan mengurus perbezaan, berempati serta berani mempertahankan keadilan dengan kebijaksanaan.
“Keamanan bukan sekadar ketiadaan konflik atau peperangan. Keamanan ialah perjalanan berterusan yang bermula dalam diri individu dan diperkukuh melalui hubungan sesama manusia.
“Inilah yang diterjemahkan oleh Pengakap melalui sistem patrol, khidmat masyarakat, disiplin, kerjasama dan rasa hormat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan Seminar Pendidikan Keamanan anjuran PPM dengan kerjasama Prem Rawat Foundation (TPRF) dan Akademi Pengakap Negara.
Seminar yang berlangsung di Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Sultan Abdul Halim (IPGM KSAH), Sungai Petani, Kedah itu dihadiri kira-kira 70 peserta dari seluruh negeri.
Hadir sama, Pengurus Wilayah Pasifik Utara TPRF, Dr Santha Kumari Natkunam; Ketua Pesuruhjaya Pengakap Kedah, Ahmad Din dan Pengarah Akademi Pengakap Negara, Prof Madya Dr Abdul Rashid Mohamad.
Mohd Zin menegaskan, dalam dunia yang semakin menyaksikan perpecahan sosial, kebencian, maklumat palsu dan krisis kemanusiaan global, pendidikan keamanan tidak lagi boleh dianggap sebagai pilihan sampingan.
Sebaliknya, tambah beliau, ia merupakan keperluan asas peradaban manusia.
Justeru, beliau berkata, ahli-ahli Pengakap di semua peringkat digalakkan bukan sekadar membincangkan konsep keamanan, tetapi menghidupkan nilai tersebut dalam tindakan harian.
“Nilai tersebut perlu juga dihidupkan di sekolah, komuniti dan di peringkat nasional dan global,” ujarnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








