BERITA SEMASA

Agong titah masjid, surau di Johor adakan solat hajat, doa selamat susulan gempa di Segamat

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menitahkan semua masjid dan surau di Johor melaksanakan solat hajat dan doa selamat susulan enam gegaran yang melanda daerah Segamat sejak kejadian pertama, Ahad lalu.

Melalui hantaran di Facebook hari ini, Seri Paduka Baginda menzahirkan titah memohon perlindungan Allah SWT agar rakyat sentiasa dilindungi daripada sebarang musibah dan bencana susulan gegaran berkenaan.

Sultan Ibrahim bersama Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah turut berdoa agar negeri Johor dan seluruh rakyat Malaysia berada dalam keadaan aman, selamat serta dijauhkan daripada malapetaka.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan gempa bumi lemah berukuran 2.7 magnitud sekali lagi melanda Segamat pada pukul pada 7.29 pagi tadi.

Ia merupakan gegaran terbaharu dalam rentetan gempa yang melanda daerah itu sepanjang minggu ini selepas gegaran berukuran 4.1 magnitud pada 24 Ogos lalu.

Setakat ini, sebanyak enam gempa bumi lemah direkodkan di daerah itu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan Sesar Mersing iaitu zon seismik dan tekanan dari pergerakan tektonik serantau yang mengaktifkan sesar lama.

Kejadian pada 24 Ogos lalu turut menyebabkan beberapa penduduk mengalami kerosakan harta benda.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button