BERITA SEMASA

Agong tiba di Moscow atas jemputan khas Putin sempena Hari Kemenangan Rusia

MOSCOW – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim selamat tiba di Moscow semalam atas jemputan khas Presiden Rusia, Vladimir Putin bagi menghadiri sambutan Ulang Tahun Hari Kemenangan Rusia yang dijadual berlangsung pada 9 Mei ini.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda di Lapangan Terbang Antarabangsa Vnukovo-2 kira-kira pukul 4.20 petang waktu tempatan disambut Timbalan Menteri Hal Ehwal Luar Rusia, Andrey Rudenko serta Ketua Pengarah Jabatan Protokol Rusia, Bogdashev Igor Viktorovich.

Turut menyambut ketibaan baginda ialah Duta Besar Malaysia ke Persekutuan Rusia, Datuk Cheong Loon Lai.

Menurut kenyataan dimuat naik menerusi Facebook rasmi Sultan Ibrahim, jemputan khas Putin kepada Seri Paduka Baginda mencerminkan pengiktirafan tinggi Kerajaan Rusia terhadap Malaysia serta hubungan erat kedua-dua negara.

“Tahun lalu, Sultan Ibrahim melakar sejarah sebagai Ketua Negara Malaysia pertama mengadakan Lawatan Negara ke Rusia sejak hubungan diplomatik antara kedua-dua negara terjalin pada tahun 1967,” menurut kenyataan itu.

Sambutan Hari Kemenangan Rusia diadakan setiap tahun bagi memperingati kejayaan Kesatuan Soviet menewaskan Nazi Jerman dalam Perang Dunia Kedua.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button