Dr Zaliha arah JWP selaras pelaksanaan Kembara Diraja
KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa mengarahkan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan agensi di bawahnya untuk menyelaraskan pelaksanaan Kembara Diraja sebagai tanda menghormati titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Dalam satu kenyataan di laman Facebook, beliau berkata, kembara itu bakal menjadi platform bagi Seri Paduka Baginda untuk berinteraksi dengan rakyat di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan serta menyampaikan bantuan zakat kepada golongan yang memerlukan.
Semalam, Sultan Ibrahim bertitah bahawa Kembara Diraja akan diadakan ke seluruh Wilayah Persekutuan untuk memberi peluang kepada Seri Paduka Baginda melihat sendiri kehidupan rakyat serta mengagihkan zakat kepada orang miskin dan asnaf lapan.
Titah tersebut disampaikan oleh Sultan Ibrahim pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2025 sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, Kuala Lumpur, semalam.
Sementara itu, Dr Zaliha menegaskan bahawa JWP turut menjunjung titah Seri Paduka Baginda mengenai keperluan penjawat awam untuk mengamalkan prinsip Kesetiaan kepada Raja dan Negara, selaras dengan budaya kerja HARMONI yang diperkenalkan di Wilayah Persekutuan sebagai asas bagi tatakelola yang baik.
“Sebagai jentera pelaksana dasar, warga JWP akan terus komited dalam memperkasakan penyampaian perkhidmatan awam yang cekap, berintegriti dan berorientasikan rakyat, sejajar dengan semangat Malaysia MADANI,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








