AGAMABERITA SEMASA

Syahid menuntut ilmu: Penghormatan terakhir buat 15 pelajar UPSI

TRAGEDI yang meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam satu kemalangan bas awal pagi semalam meninggalkan luka mendalam bukan sahaja kepada keluarga mangsa, malah seluruh rakyat Malaysia.

Namun di sebalik kepiluan yang menyelubungi, tersingkap satu pengiktirafan Ilahi yang amat besar buat mereka iaitu kematian yang dikira sebagai syahid.

Menurut Ustaz Ubaidillah Al Musawi, para pelajar yang terkorban disifatkan mendapat dua kali syahid.

Suasana pilu menyelubungi apabila 13 keranda yang membawa jenazah mangsa disusun sebelum disolatkan di Masjid Hadhari, Jerteh, Terengganu awal pagi tadi.

Pandangan itu berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Orang yang jatuh dari tunggangan lalu meninggal maka dia syahid.” (Hadis Riwayat At-Thobrani)

Bahkan beliau memberitahu, kesemua pelajar itu mendapat dua kali syahid kerana bukan sahaja meninggal dalam kemalangan malah ‘pergi’ ketika dalam perjalanan menuntut ilmu.

“Tidak hanya satu syahid, bahkan dua kali syahid, kerana perjalanannya menuju ke medan ilmu.

“Ini berdasarkan hadis Nabi SAW iaitu ‘Barang siapa yang keluar untuk mencari ilmu, maka ia berada di jalan Allah hingga ia pulang.’ (Hadis Riwayat Tirmizi)

“Menuntut ilmu itu seumpama berada di jalan Allah iaitu jihad, maka mati di medan jihad syahid, bermaksud mati di medan ilmu juga syahid.

“Maka berkumpullah dua syahid kepada mangsa-mangsa kemalangan bas yang membawa pelajar UPSI,” tulisnya.

Keadaan bas yang terlibat nahas hingga menyebabkan 15 penuntut UPSI maut dalam tragedi tersebut.

Sementara itu, Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr. Mohd Shauki Othman turut menjelaskan bahawa para pelajar tersebut dikategorikan sebagai syahid akhirat.

Ia merujuk kepada jenis kematian yang mendapat ganjaran syahid di akhirat, walaupun tidak termasuk dalam kategori syahid perang.

Beliau menjelaskan bahawa ulama seperti Sheikh Yusuf al-Qaradawi dan Sheikh ‘Atiyyah Saqr menyatakan bahawa mereka yang mati akibat kemalangan asalkan bukan kerana kecuaian atau maksiat termasuk dalam kalangan syahid akhirat.

“Perjalanan mereka untuk menuntut ilmu adalah mulia dan niat suci itu memberi kedudukan istimewa di sisi Allah.

“Maka mereka tergolong dalam golongan yang dimuliakan walaupun secara zahirnya mereka tidak mati syahid di medan perang,” katanya.

Kepiluan yang dirasai waris mangsa yang terkorban pasti mengambil masa yang lama untuk sembuh, namun percayalah ada hikmah yang indah daripada Allah di sebalik musibah ini.

Dalam Islam, syahid terbahagi kepada tiga kategori:

1. Syahid dunia dan akhirat – seperti mati dalam peperangan menegakkan agama.

2. Syahid dunia sahaja – seperti yang mati dalam perang tetapi niatnya bukan kerana Allah.

3. Syahid akhirat – termasuk mereka yang mati dalam kemalangan, terbakar, lemas, tertimbus dan sebagainya dengan syarat bukan dalam keadaan maksiat.

Kematian 15 pelajar UPSI ini diletakkan dalam kategori ketiga.

Ia bukan saja memberi sedikit kelegaan buat waris, malah menjadi satu motivasi buat masyarakat umum agar terus menghargai dan mengangkat martabat penuntut ilmu.

Dalam kedukaan, umat Islam diingatkan bahawa Allah mengangkat darjat sesiapa yang berjuang di jalan-Nya.

Maut itu satu ketentuan, namun cara ia datang boleh menjadi bukti kasih sayang Allah SWT kepada hamba-Nya.

Para pelajar ini pergi dalam keadaan mulia iaitu dalam perjalanan menuntut ilmu. Malah, ada yang bergelar hafizah Quran. Allahuakbar.

Al-Quran tulisan tangan Allahyarhamah Nurly Sahirah Azman, salah seorang pelajar UPSI dan juga hafizah Quran yang terkorban dalam insiden tersebut mengundang sebak masyarakat.

Mereka adalah syuhada zaman moden bukan dengan senjata, tetapi dengan pena dan semangat ilmu di dada.

Dunia kehilangan anak-anak muda yang berpotensi besar. Namun kita yakin, di alam abadi, mereka sedang diraikan oleh para malaikat, ditempatkan bersama para anbiya’, siddiqin dan syuhada.

Moga pemergian mereka membuka mata kita tentang nilai sebenar menuntut ilmu, bukan sekadar ke kampus atau menghadiri kelas, tetapi satu ibadah yang tinggi nilainya di sisi Allah.

Ia juga menjadi seruan agar kita tidak menangguhkan amal baik, kerana ajal tidak pernah lewat walau sesaat.

Sesungguhnya, kematian itu pasti, namun tidak semua dikurniakan kemuliaan seperti mereka. Al-Fatihah buat para pelajar yang telah pergi. Insya-Allah, syurga menanti.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button