BERITA SEMASA

ADUN Manjoi mainkan sentimen agama isu penggantungan Ahmad Marzuk

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan menyuarakan rasa kecewa terhadap kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Mohd Hafez Sabri yang memainkan sentimen agama berhubung penggantungan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Ahmad Marzuk Shaary selama dua hari.

ADUN Manjoi mainkan sentimen agama isu penggantungan Ahmad Marzuk
Tangkap layar Facebook Adun Manjoi

Menurut Syahredzan, beliau sendiri berada dalam Dewan ketika insiden itu berlaku dan menjadi saksi kepada tindakan Timbalan Speaker, Alice Lau yang menggunakan Peraturan Mesyuarat 37(2) bagi menutup sesi pertanyaan selepas masa hampir tamat.

“Pada waktu itu, Ahmad Marzuk masih terus bertikam lidah dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar walaupun telah diberikan amaran.

“Timbalan Speaker memberi peringatan bahawa jika beliau bangun lagi, akan diminta keluar sebentar.

“Namun, setelah berulang kali mengingkari arahan, akhirnya beliau digantung selama dua hari,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Syahredzan berkata, tindakan penggantungan itu sama sekali tidak ada kaitan dengan agama atau parti yang diwakili Alice Lau seperti yang cuba digambarkan oleh Mohd Hafez.

“Sebaliknya penggantungan tersebut berlaku kerana Ahmad Marzuk berterusan melanggar arahan Pengerusi Dewan walaupun sudah diberikan ruang dan amaran berkali-kali.

“Kami semua mahu mendengar penjelasan Menteri Agama mengenai isu agensi-agensi agama.

“Tetapi tindakan Ahmad Marzuk sebenarnya telah mengganggu urusan Dewan.

“Sayangnya, pemimpin PAS seperti Mohd Hafez hanya tahu memutar belit isu ini dengan menyentuh soal agama dan kaum,” katanya lagi.

Syahredzan turut membangkitkan persoalan sama ada kenyataan Mohd Hafez itu dibuat untuk mengalihkan perhatian terhadap kelemahan pentadbiran PAS semasa mereka berkuasa.

“Untuk rekod, semasa mereka berkuasa, 23 syarikat bukan bumiputera diberikan kontrak oleh Tabung Haji, tetapi sekarang dijadikan isu pula pada zaman Kerajaan MADANI,” katanya lagi.

Beliau turut menegur tindakan Mohd Hafez yang disifatkan sebagai tidak mencerminkan politik baharu yang matang seperti diharapkan daripada seorang wakil rakyat muda.

“Sepatutnya bawa politik segar dan membina, malangnya politik PAS masih terperangkap dengan cara lama yang sempit,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button