BERITA SEMASA

Abon kini stabil selepas jalani prosedur jantung di HCTM

KUALA LUMPUR – Pelawak veteran, Abon, telah dibenarkan pulang dari Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) minggu lalu selepas menjalani prosedur rawatan jantung selama hampir dua minggu.

Sharizan Ahmad, 66, atau lebih dikenali sebagai Abon, memaklumkan tahap kesihatannya kini beransur pulih selepas menjalani prosedur angiogram dan angioplasti belon bagi mengatasi masalah saluran jantung yang tersumbat.

“Selepas menjalani prosedur itu, barulah saya boleh bercakap dan berjumpa orang. Keadaan saya juga semakin baik.

“Doktor pantau perkembangan saya terlebih dahulu kerana bimbang berlaku komplikasi lain termasuk membabitkan buah pinggang atau keperluan menjalani dialisis.

“Alhamdulillah, semuanya baik. Doktor turut pantau keadaan jantung saya selama kira-kira seminggu sebelum benarkan saya pulang,” katanya kepada BH Online.

Beliau bersyukur masalah kesihatannya dapat dikesan lebih awal, sekali gus membolehkan rawatan dilakukan sebelum keadaannya menjadi lebih serius.

“Ramai rakan yang pernah melalui pengalaman sama berkongsi pandangan dan cadangan rawatan. Saya berbincang dengan keluarga sebelum membuat keputusan.

“Saya percaya keputusan menjalani rawatan ini adalah yang terbaik selepas mendapat pandangan keluarga dan sahabat,” katanya.

Abon berkata, masalah kesihatan itu berlaku tanpa diduga kerana sebelum ini beliau tidak pernah mempunyai sejarah penyakit serius atau dimasukkan ke hospital.

Kini, beliau memberi tumpuan sepenuhnya kepada proses pemulihan dengan mematuhi nasihat doktor termasuk mengawal pemakanan.

“Buat masa ini doktor nasihatkan saya supaya banyak berehat dan menjaga pemakanan.

“Saya tidak boleh ambil makanan berminyak, bergaram dan manis sepanjang tempoh pemulihan. Saya juga perlu mengambil ubat seperti yang ditetapkan,” katanya.

Sebelum ini, Abon mengalami batuk berpanjangan selama enam bulan sebelum mengadu sesak dada ketika berniaga di Ekspo Jabatan Warisan Negara: Makanan Tradisi Malaysia di Ipoh, Perak, Jun lalu.

Selepas menjalani pemeriksaan kira-kira dua jam di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, doktor mengesahkan beliau mengalami masalah jantung dan menahannya bagi menjalani rawatan lanjut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button