MDEC, MDV pacu WAHDAH perkukuh ekosistem mobiliti digital negara
KUALA LUMPUR – Transformasi digital Malaysia terus memperlihatkan momentum yang kukuh apabila Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) mempergiat usaha memperkasa inovator tempatan melalui kerjasama strategik serta akses kepada alternatif pembiayaan.
Usaha memperkasa ekonomi digital negara terus diperkukuh melalui kerjasama strategik MDEC dan Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV) bagi mempercepatkan misi WAHDAH Technologies Sdn. Bhd. (WAHDAH) dalam membentuk ekosistem mobiliti digital dan teknologi pelancongan Malaysia.
Kerjasama strategik itu dilihat sebagai langkah signifikan dalam memperkukuh agenda pendigitalan negara di bawah inisiatif Malaysia Digital (MD) dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), khususnya dalam bidang mobiliti digital, teknologi pelancongan serta inovasi berasaskan platform.

WAHDAH Technologies Sdn. Bhd, syarikat mobiliti dan teknologi pelancongan tempatan, muncul sebagai antara kisah kejayaan dalam ekosistem digital Malaysia apabila berjaya menghubungkan sektor mobiliti, automotif dan pelancongan melalui platform digital bersepadu.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Anuar Fariz Fadzil berkata, pihaknya komited memperkasa inovator tempatan berpotensi tinggi seperti WAHDAH bagi mempercepat penerapan digital serta peluasan pasaran serantau.
“Kerjasama bersama MDV ini mengukuhkan keutamaan nasional di bawah Malaysia Digital, RMK12 dan aspirasi AI Nation 2030 dengan menyokong platform mobiliti berasaskan data serta membuka laluan kepada syarikat teknologi tempatan berkembang ke seluruh Asia Tenggara,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, MDEC memainkan peranan penting dalam perjalanan WAHDAH dengan memudah cara keterlihatan dalam ekosistem, menyediakan akses pasaran serta membuka ruang penyertaan dalam program strategik penerapan digital.
Dalam perkembangan sama, MDV yang merupakan anak syarikat Menteri Kewangan dan agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), meluluskan kemudahan pembiayaan RM2.5 juta bagi menyokong pertumbuhan dan kapasiti operasi WAHDAH.
Ketua Pegawai Eksekutif MDV, Rizal Fauzi berkata, pihaknya yakin dengan potensi WAHDAH untuk berkembang melangkaui sempadan Malaysia.
“Dengan sokongan pembiayaan yang tepat, syarikat ini berupaya terus berkembang dan memberi impak kepada ekosistem digital yang lebih luas,” ujarnya.
Melalui penyelarasan program pemerkasaan digital MDEC dan inisiatif pembiayaan MDV, WAHDAH kini berada pada landasan kukuh ke arah unjuran pertumbuhan hasil kumulatif sebanyak RM40 juta.
WAHDAH beroperasi di Malaysia, Indonesia dan Singapura dengan hampir 100 tenaga kerja serta rangkaian hab fizikal termasuk di Langkawi, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Ipoh, Melaka, Johor Bahru, Jakarta dan Singapura.
Ekosistem kumpulan syarikatnya merangkumi Driveo, platform pengurusan kumpulan kenderaan yang mendigitalkan keseluruhan kitaran pemilikan, serta Trevabook, jenama teknologi pelancongan yang menawarkan pengalaman perjalanan berasaskan lokaliti.
Kerjasama tiga pihak itu mencerminkan strategi Malaysia yang semakin matang dalam menggabungkan sokongan institusi, inovasi dan keusahawanan bagi memperkukuh kedudukan negara sebagai hab inovasi digital serantau.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








