BERITA SEMASADALAM NEGERIJENAYAH & MAHKAMAH

Jual lima motosikal demi pelaburan palsu, peniaga rugi lebih RM100,000

KUALA TERENGGANU – Akibat terpedaya dengan sindiket penipuan pelaburan dalam talian yang diiklankan menerusi aplikasi WhatsApp, seorang peniaga di negeri ini berputih mata apabila mengalami kerugian melebihi RM100,000.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa pada petang semalam selepas pulangan lumayan yang dijanjikan tidak pernah diterima sejak menyertai pelaburan berkenaan pada Disember lalu.

Beliau berkata, mangsa yang merupakan seorang lelaki berusia 35 tahun mendakwa ditawarkan pelaburan saham oleh seorang individu dikenalinya ketika mereka berhubung melalui WhatsApp pada 16 Disember lalu.

“Suspek menghantar gambar kononnya dia dari sebuah syarikat saham dalam talian bersama bukti pendapatan yang kononnya diperoleh daripada pelaburan berkenaan.

“Terpengaruh dengan jaminan keuntungan besar, mangsa bersetuju untuk menyertai pelaburan itu sebagai rakan kongsi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Baca juga : Doktor rugi RM285,000 terpedaya sindiket ‘phone scam

Azli berkata, bermula 17 Disember 2025 sehingga 24 Januari lalu, mangsa membuat 15 transaksi ke beberapa akaun bank berbeza yang diberikan suspek, membabitkan jumlah keseluruhan RM100,900.

Antara transaksi terbesar adalah RM25,000 pada 24 Disember 2025, RM18,000 dan RM6,600 pada 23 Disember 2025, selain beberapa transaksi lain dengan nilai antara RM300 hingga RM11,000.

Mangsa dijanjikan pulangan pelaburan sehingga RM200,000, namun sehingga kini tidak menerima sebarang keuntungan seperti dijanjikan.

Azli berkata, hasil siasatan awal mendapati wang pelaburan itu diperoleh daripada simpanan peribadi mangsa, hasil jualan lima motosikal miliknya, selain pinjaman daripada rakan serta saudara terdekat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button