Suspek utama kes mayat dikerat mengaku bunuh, motif tuntutan wang pertunangan
KOTA KINABALU – Suspek utama kes pembunuhan wanita yang mayatnya ditemui dalam keadaan dikerat dan dibuang di beberapa lokasi sekitar Indah Permai mengaku terbabit dalam kejadian itu, dengan motif dipercayai berpunca daripada konflik hubungan peribadi serta tuntutan wang pertunangan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, pengakuan tersebut diperoleh hasil soal siasat awal selepas suspek lelaki tempatan berusia 71 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
Menurutnya, suspek mendakwa pembunuhan itu berkait dengan perselisihan hubungan antara dia dan mangsa, termasuk isu tuntutan wang pertunangan selepas pertunangan mereka dipercayai putus kerana mangsa telah berkahwin dengan individu lain.
“Keadaan itu dipercayai mencetuskan pertengkaran antara suspek dan mangsa sehingga membawa kepada kejadian berkenaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, siasatan lanjut masih diteruskan bagi melengkapkan kertas siasatan, termasuk mendapatkan bukti tambahan dan laporan forensik.
Dalam pada itu, polis menerima maklumat daripada saksi yang mendakwa melihat mangsa berlari keluar dari sebuah rumah dalam keadaan cemas sebelum ditarik masuk semula oleh seorang lelaki, sekali gus menjadi petunjuk penting dalam siasatan kes.

“Susulan maklumat itu, pada pukul 8.10 malam tadi, polis menahan suspek utama di Unit Kecemasan Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) bagi membantu siasatan lanjut.
“Polis kemudian menahan seorang lagi lelaki tempatan berusia 19 tahun pada pukul 10.30 malam di sebuah unit kediaman di Taman Seri Maju Apartment, Sepanggar kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian,” katanya.
Dalam operasi berkenaan, polis turut merampas beberapa barangan termasuk telefon bimbit, pakaian yang dipercayai dipakai semasa kejadian serta sebuah kenderaan jenis Nissan X-Trail berwarna keemasan untuk tujuan siasatan forensik.
“Kedua-dua suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan mayat seorang wanita berusia lingkungan 40-an ditemukan dalam keadaan anggota badan dikerat dan dibuang berasingan di beberapa lokasi pembuangan sampah sekitar Taman Indah Permai.
Penemuan awal membabitkan tangan dan kaki mangsa pada pukul 6.30 pagi sebelum pencarian lanjut membawa kepada penemuan kepala serta badan mangsa pada pukul 11.40 pagi di lokasi berhampiran.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







