BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

31 pemandu guna laluan bas, ingkar larangan waktu terhad dikompaun DBKL

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan 31 notis kompaun terhadap pemandu yang didapati menggunakan lorong bas serta melanggar larangan laluan waktu terhad dalam operasi khas di Jalan Sentul dan Jalan Ampang, Isnin dan Rabu lalu.

Operasi Tindakan Khas Lalulintas Larangan Laluan Waktu Terhad dan Lorong Bas itu dilaksanakan pada 9 dan 11 Februari lalu bagi memantau tahap pematuhan pengguna jalan raya terhadap peraturan yang ditetapkan.

Menurut DBKL, dalam operasi melibatkan pegawai dan anggota warden trafik itu, pemeriksaan tertumpu kepada kenderaan berat termasuk lori treler dan lori dengan muatan bahan binaan yang memasuki pusat bandar pada waktu puncak antara pukul 6.30 pagi hingga 9.30 pagi.

Hasil pemeriksaan, sebanyak lima notis kompaun dikeluarkan terhadap kenderaan yang ingkar larangan laluan waktu terhad serta membawa muatan seperti batu, pasir dan kayu sehingga menyebabkan kesesakan di laluan utama.

Anggota DBKL menahan kenderaan yang menyalahgunakan laluan bas di sekitar ibu kota semalam.

Dalam operasi berasingan berkaitan penggunaan lorong bas, DBKL turut mengeluarkan 26 notis kompaun terhadap pemandu kenderaan persendirian yang dikesan menggunakan lorong khas yang diperuntukkan untuk bas dan teksi.

Kesalahan itu membabitkan pelanggaran arahan melalui papan tanda pemberitahuan serta isyarat lalu lintas yang disediakan pihak berkuasa.

Tindakan penguatkuasaan tersebut dilaksanakan mengikut peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

DBKL mengingatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan dan isyarat lalu lintas bagi memastikan kelancaran serta keselamatan semua pihak. Sebarang aduan atau maklum balas boleh disalurkan menerusi pautan rasmi yang disediakan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button