Indeks Persepsi Rasuah Malaysia melonjak ke kedudukan 54
KUALA LUMPUR – Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dunia melonjak ke kedudukan 54.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pencapaian itu mencerminkan usaha Kerajaan MADANI memerangi rasuah yang sistemik serta membetulkan kelemahan struktur tadbir urus negara.
“Peningkatan ini antaranya didorong oleh tindakan penguatkuasaan tegas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
“Ia termasuk kejayaan memulihkan lebih RM15.5 bilion hasil negara melalui rampasan aset, dana dan pembanterasan sindiket rasuah serta ketirisan yang telah lama menjejaskan kewangan awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tegasnya, Kerajaan MADANI juga tidak berkompromi apabila integriti institusi strategik dipersoalkan.
Katanya, tindakan tegas terhadap salah laku dan penyelewengan dalam sektor pertahanan, di samping pembongkaran kartel serta rasuah berprofil tinggi, menegaskan prinsip bahawa tiada sesiapa yang kebal daripada undang-undang.
Pencapaian ini juga katanya, adalah peringatan untuk semua pihak menggandakan usaha memerangi rasuah secara konsisten dan berani, demi memulihkan keyakinan rakyat serta memastikan amanah negara terus dipertahankan.
Berdasarkan laporan CPI 2025 dikeluarkan Transparency International Malaysia (TI-M), Malaysia kini berada di kedudukan ke-54 paling kurang rasuah dalam kalangan 182 negara dan wilayah yang dinilai berbanding kedudukan ke-57 sejak 2023.
Antara faktor menyumbang peningkatan skor CPI negara bagi tempoh 2025 termasuk pengenalan Akta Tanggungjawab Kewangan dan Fiskal 2023, pindaan Akta Audit 1957 yang memperluaskan pengawasan Ketua Audit Negara ke atas syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








