MCMC tumpaskan aktiviti sindiket Fake BTS
JOHOR BAHRU – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya menumpaskan aktiviti sindiket pemancaran Stesen Pangkalan Palsu (Fake BTS) dalam satu operasi di kawasan Bukit Chagar, di sini hari ini.
Menurut MCMC, operasi itu dilaksanakan susulan maklumat beserta pemantauan teknikal dan analisis rangkaian bagi mengesan corak pemintasan rangkaian telekomunikasi dan penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) palsu kepada pengguna.
“Dalam operasi bersepadu yang dijalankan bersama-sama pihak penyedia perkhidmatan telekomunikasi hari ini, pasukan penguat kuasa mengenal pasti seorang individu dan sebuah kenderaan yang digunakan sebagai platform pemancaran Fake BTS.
“Pemeriksaan di lokasi mengesahkan penggunaan peranti komunikasi tidak diperakui yang berupaya memintas rangkaian sah dan menghantar SMS palsu secara terus kepada peranti pengguna di sekitarnya,” kata kenyataan itu, hari ini.
Maklumat yang diperoleh turut menunjukkan bahawa individu yang terlibat direkrut untuk mengendalikan peranti Fake BTS melalui tawaran pekerjaan dengan bayaran harian.
“Penemuan ini mengukuhkan kewujudan rangkaian sindiket yang menyasarkan pengguna di kawasan tumpuan awam, sekali gus meningkatkan risiko penipuan serta mengancam integriti sistem telekomunikasi negara,” katanya lagi.
Kes diambil tindakan bawah Seksyen 239(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] serta Peraturan 16(1)(b), Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.
Bagi kesalahan bawah Seksyen 239 Akta 588, seseorang yang disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta atau dipenjarakan sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi kesalahan bawah Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000, pelaku boleh didenda maksimum RM300,000 atau dipenjarakan sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Tambah kenyataan itu, MCMC tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan rangkaian komunikasi oleh sindiket tidak bertanggungjawab.
“Usaha pemantauan teknikal serta tindakan penguatkuasaan tegas MCMC akan terus diperkasakan bagi melindungi pengguna dan memastikan keselamatan serta kebolehpercayaan rangkaian komunikasi negara,” kata MCMC lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








