BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

PDRM dedah remaja jual bahan eksploitasi seksual kanak-kanak demi judi

KUALA LUMPUR – Jenayah seksual melibatkan kanak-kanak semakin membimbangkan apabila terdapat kes remaja yang menjana sehingga RM76,000 dalam tempoh sembilan bulan melalui penjualan bahan seksual kanak-kanak secara dalam talian.

Ketua Penolong Pengarah (D11) Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak PDRM, SAC Siti Kamsiah Hasan menegaskan, kejadian itu berlaku apabila kanak-kanak diberi akses mudah kepada gajet dan internet tanpa kawalan.

“Gabungan internet dan peranti digital tidak bersalah. Yang bersalah adalah cara ia digunakan,” katanya sambil menjelaskan bagaimana pelaku mengambil bahan sedia ada di internet, memanipulasi dan menjualnya kepada rakan pada harga RM30 hingga RM50 setiap pautan.

Pendedahan itu dibuat Siti Kamsiah dalam satu sidang media selepas menghadiri Forum Internet Selamat, Tanggungjawab Semua anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sempena Hari Keselamatan Internet 2026 di ibu negara, hari ini.

Siti Kamsiah menambah, pelaku juga memanfaatkan musim perayaan untuk menjual dengan harga lebih murah bagi meningkatkan keuntungan, yang kemudiannya digunakan untuk perjudian.

“Ini menunjukkan jenayah seksual kanak-kanak juga boleh membawa kepada jenayah lain,” tegas beliau, merujuk kepada kes di mana remaja terlibat bukan sahaja dalam eksploitasi seksual tetapi juga aktiviti judi.

Baca juga : ‘Grooming’, permainan digital antara punca kanak-kanak terjerumus jenayah seksual

Menurut Siti Kamsiah, kanak-kanak yang menjadi mangsa cenderung menormalisasi tingkah laku itu dan berisiko menjadi pelaku pada masa akan datang, sekali gus menjadikan kitaran jenayah sukar diputuskan.

Beliau menekankan kepentingan pengawasan ibu bapa terhadap aktiviti digital anak, termasuk penggunaan gajet, media sosial, dan interaksi dengan rakan sebaya.

Selain itu, pengesanan awal terhadap perubahan tingkah laku seperti penyendiran, perubahan mood atau kurang interaksi sosial amat penting untuk mencegah kejadian jenayah seksual.

“Apabila ibu bapa gagal mengesan aktiviti ini lebih awal, jenayah boleh berlaku tanpa disedari sehingga memerlukan campur tangan pihak ketiga,” ujarnya.

Siti Kamsiah menyeru masyarakat supaya lebih peka dengan ancaman digital, mengambil langkah kawalan yang sesuai, serta menanam nilai moral dan tanggungjawab kepada kanak-kanak untuk mengurangkan risiko terjebak dengan jenayah seksual.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button