BERITA SEMASA

206 pelajar Darul Quran JAKIM khatam hafazan al-Quran tahun 2026

KUALA KUBU BHARU – Seramai 206 orang pelajar Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berjaya mengkhatamkan hafazan al-Quran bagi Program Diploma Tahfiz Al-Quran dan Al-Qiraat Tahun 2026/1447H.

Daripada jumlah tersebut, 37 pelajar berjaya mengkhatamkan hafazan lebih daripada sekali, manakala 11 pelajar mencatat pencapaian luar biasa apabila berjaya mengkhatam hafazan 30 juzuk al-Quran dalam tempoh hanya tiga hari.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, kejayaan itu bukan sahaja membuktikan kesungguhan para pelajar, malah menggambarkan komitmen berterusan Darul Quran dalam melahirkan generasi huffaz yang berkualiti dan berdaya saing.

“Pencapaian ini jelas menunjukkan keberkesanan program tahfiz yang dilaksanakan serta kesungguhan para pelajar dalam menghayati dan menguasai ilmu al-Quran,” katanya dalam satu kenyataan sempena Majlis Khatam Hafazan Al-Quran di Dewan Muktamar Darul Quran JAKIM, di sini hari ini.

Majlis berkenaan dianjurkan bersempena 19 Syaaban 1447H bersamaan 7 Februari 2026 sebagai penghargaan terhadap pencapaian cemerlang para huffaz, selain bertujuan memupuk semangat penghayatan al-Quran dalam kalangan generasi muda.

Menurut beliau, sebagai institusi tahfiz terulung negara, JAKIM kekal komited memastikan kesinambungan pendidikan tahfiz yang berkualiti tinggi dan relevan dengan keperluan semasa.

“Sehingga kini, Darul Quran JAKIM telah melahirkan seramai 12,803 orang huffaz, yang merupakan aset penting kepada pembangunan ummah dan negara,” katanya lagi.

Beliau berkata, para huffaz berperanan besar sebagai duta Islam dalam menyebarkan ilmu, hikmah serta nilai-nilai al-Quran kepada masyarakat, di samping memperkukuh kepimpinan berasaskan al-Quran dan Sunnah demi pembangunan ummah yang seimbang, progresif dan harmoni.

Dalam pada itu, Sirajuddin turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan program berkenaan, termasuk pengurusan Darul Quran JAKIM, para pensyarah, ibu bapa serta pihak berkepentingan.

“Semoga segala usaha dalam mendidik dan melahirkan generasi al-Quran ini mendapat keberkatan dan ganjaran besar di sisi Allah SWT serta menyokong pembinaan negara madani yang berakhlak, harmoni dan progresif,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button