Kisah Pak Mail: Keluarga dakwa warga emas alami masalah mental, ADUN mohon henti buat andaian
PASIR MAS – Kisah warga emas bernama Pak Mail yang diabaikan ahli keluarganya dan kemudian diselamatkan aktivis jalanan, Abbe Hae di Kampung Repek, di sini mendapat pelbagai reaksi daripada khalayak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apam Putra, Zamakhshari Muhamad dalam satu kenyataan berkata, pihaknya sudah menerima maklumat berhubung kes itu lebih awal.
Malah, beliau juga sudah mengarahkan penghulu mukim untuk membuat semakan serta tindakan susulan di peringkat kampung.

“Hasil maklum balas daripada penghulu selepas berhubung secara langsung dengan anak kepada warga emas berkenaan, dimaklumkan bahawa mangsa mempunyai masalah kesihatan mental.
“Tindakan mengurung dibuat oleh ahli keluarga atas faktor keselamatan, bagi mengelakkan mangsa mengganggu orang awam dan mendatangkan risiko kepada dirinya sendiri serta orang lain.
“Perkara ini menunjukkan bahawa isu berkenaan bukan kes pengabaian yang disengajakan, sebaliknya membabitkan situasi kesihatan mental yang memerlukan pendekatan berhemah, profesional dan berfakta serta pembabitan agensi berkaitan,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Zamakhshari turut menegaskan bahawa kebajikan rakyat tidak pernah diabaikan dan setiap maklumat yang diterima akan ditangani mengikut prosedur, nasihat pihak berautoriti serta keperluan sebenar kes termasuk aspek keselamatan dan kesihatan.
BACA JUGA:
Warga emas uzur dikurung dalam bilik berlantaikan tanah: Aktivis doakan anak, cucu derhaka bertaubat
Menurutnya, sehubungan itu orang ramai diminta tidak membuat andaian atau membina naratif berdasarkan emosi dan visual semata-mata kerana ia boleh menimbulkan salah faham serta tekanan tidak wajar kepada keluarga terbabit.
Katanya, kerjasama semua pihak amat dihargai agar isu sensitif seperti itu ditangani secara bertanggungjawab, berperikemanusiaan dan melalui saluran yang betul.
Terdahulu, Abbe Hae turut meluahkan rasa kecewa terhadap sikap waris terlibat dan mendoakan agar mereka diberi keinsafan.
“Hatta binatang pun tidak kita perlakukan sedemikian,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








