Muhyiddin dijangka dijemput hadiri mesyuarat luar biasa MT PN – Tuan Ibrahim
KUALA LUMPUR – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka akan dijemput menghadiri mesyuarat luar biasa Majlis Tertinggi (MT) Perikatan Nasional (PN) yang dirancang untuk diadakan dalam masa terdekat.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Muhyiddin tidak dijemput menghadiri mesyuarat agung luar biasa PN pada 29 Januari lalu kerana Perlembagaan PN menetapkan bahawa jawatan presiden parti dalam gabungan itu tidak secara automatik menjadi ahli MT PN.
Menurut beliau, faktor perlembagaan itu menjadi sebab utama Muhyiddin tidak diundang ke mesyuarat berkenaan selepas menghantar surat menyatakan hasrat untuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN.
“Tidak timbul sebarang perbalahan, sebaliknya ia hanya isu teknikal berkaitan peruntukan dalam Perlembagaan PN itu sendiri.
“Saya berpandangan adalah lebih baik PN menjemput beliau menghadiri mesyuarat luar biasa walaupun tidak menjadi ahli secara automatik, dan perkara itu telah dipersetujui,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Ceramah Umum Isu-Isu Semasa anjuran PAS Kawasan Seremban, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemelut yang timbul susulan mesyuarat luar biasa MT PN pada 29 Januari lalu yang tidak menjemput Muhyiddin.
Dalam perkembangan berkaitan, Tuan Ibrahim menyatakan keyakinan bahawa isu berkaitan jawatan Pengerusi PN itu dapat diselesaikan dalam tempoh satu hingga dua minggu akan datang.
“Semua pihak mahu perkara berkenaan ditangani segera dalam suasana harmoni memandangkan isu tersebut telah berlarutan lebih sebulan.
“Tiada masalah antara kami dan hubungan kekal baik. Saya sendiri baru bertemu dengan Tan Sri Muhyiddin dan kami juga kerap berjumpa di Parlimen,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








