Pelajar tidak cemerlang peperiksaan bukan hilang peluang lanjutkan pengajian tinggi – Zambry
PUTRAJAYA – Pelajar yang tidak cemerlang dalam peperiksaan tidak bermakna mereka kehilangan peluang melanjutkan pengajian, sebaliknya kerajaan memastikan laluan pendidikan kekal terbuka mengikut keupayaan dan potensi masing-masing.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abduk Kadir berkata, dasar kerajaan adalah untuk memastikan rakyat Malaysia mempunyai ruang dan peluang melanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi tanpa mengira latar belakang, pencapaian akademik atau kekangan sosioekonomi.
Menurut Zambry, minat tinggi dalam kalangan pelajar untuk memasuki universiti menunjukkan kesedaran terhadap kepentingan pendidikan, walaupun terdapat tekanan dan rungutan berhubung kegagalan memperoleh tempat pengajian walaupun memiliki keputusan akademik yang baik.
“Ada ibu bapa bertanya kenapa anak mereka yang memperoleh keputusan cemerlang tidak mendapat kursus dipohon. Hakikatnya, pemilihan kursus mempunyai padanan dan kombinasi tertentu yang perlu difahami,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum merasmikan jelajah Karnival Jom Masuk U Zon Wilayah (Premier) anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) sempena Hari Terbuka Putrajaya di sini, hari ini.
Baca juga : Pelan Pendidikan Tinggi 2026–2035 dibangunkan sepenuhnya kepakaran tempatan – Zambry
Acara berkenaan menghimpunkan pelajar, ibu bapa dan pengunjung bagi mendapatkan maklumat berkaitan peluang menyambung pengajian
Menurut Zambry lagi, program Jom Masuk U diadakan bagi membantu pelajar dan ibu bapa memahami laluan pendidikan yang sesuai, khususnya dalam kes pelajar yang mempunyai keputusan baik tetapi tersilap memilih kursus atau kombinasi yang tidak sepadan.
Beliau berkata, ketika ini negara mempunyai 20 universiti awam, 36 politeknik dan 106 kolej komuniti yang menawarkan pelbagai laluan pendidikan, sekali gus membuktikan peluang melanjutkan pengajian tidak pernah tertutup.
Zambry menegaskan, melalui Pelan Pendidikan Tinggi Nasional, kerajaan membuka laluan alternatif kepada pelajar yang kurang menonjol dalam peperiksaan, termasuk mereka yang mempunyai kekuatan dalam bidang lain.
“Setiap individu dianugerahkan kelebihan tersendiri dan tidak wajar pelajar dilabel sebagai tidak pandai hanya berdasarkan pencapaian akademik semata-mata,” katanya.
Zambry turut menekankan kepentingan keprihatinan institusi pendidikan tinggi terhadap pelajar daripada latar belakang kurang berkemampuan, dengan menyeru universiti awam agar turun padang mendengar permasalahan rakyat.
Dalam pada itu, Zambry berkata, kerajaan turut memperkukuh laluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang kini setara dengan pendidikan akademik sehingga ke peringkat ijazah, sarjana dan doktor falsafah.
Katanya, laluan TVET membolehkan pelajar bermula di kolej komuniti, melanjutkan pengajian ke politeknik, seterusnya ke universiti teknikal awam.
Beliau turut memaklumkan mengenai cadangan memperluaskan politeknik yang menawarkan pengajian peringkat ijazah, kepada 10 politeknik berbanding tiga pada masa ini.
“Kerajaan komited menaikkan martabat politeknik sebagai institusi penting dalam melahirkan graduan berkualiti dan berdaya saing,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








