Persatuan penghantar desak kerajaan tetapkan harga lantai upah rider
KUALA LUMPUR – Beberapa persatuan penghantar p-hailing mendesak kerajaan supaya segera menetapkan kadar harga lantai perkhidmatan penghantaran, susulan tekanan kos sara hidup dan kadar upah rendah yang terus membebankan penunggang di lapangan.
Persatuan Perpaduan Rakan Penghantar Malaysia (PPRPM) dalam satu kenyataan menegaskan bahawa penetapan harga lantai merupakan keperluan asas bagi melindungi kebajikan penunggang p-hailing.
Menurutnya, perkara itu penting ketika kadar upah semakin merosot dan tidak lagi seimbang dengan kos sara hidup, penyelenggaraan kenderaan serta risiko kerja harian.
“Tanpa harga lantai, Akta Pekerja Gig berisiko menjadi akta separuh masak kerana gagal menangani isu paling asas yang membelenggu penunggang.
“Selagi kadar lantai tidak ditetapkan, kuasa mutlak kekal di tangan syarikat platform dan penunggang terus terdedah kepada eksploitasi,” kata PPRPM hari ini.
PPRPM turut menyuarakan kebimbangan terhadap pembentukan Majlis Perundingan Gig (MPG) yang diperuntukkan di bawah Akta Pekerja Gig, khususnya berkaitan komposisi keanggotaan majlis tersebut.
Menurut persatuan itu, keanggotaan MPG perlu mengutamakan suara akar umbi termasuk wakil penunggang dan penggiat industri p-hailing kerana mereka lebih memahami realiti serta cabaran sebenar di lapangan dan tidak seharusnya didominasi oleh pihak berkepentingan tertentu.
Dalam perkembangan berkaitan, Jawatankuasa Gerakan Badan Bertindak Sahabat E-hailing Malaysia (JK GBBSEM) pula menyifatkan kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan pada 26 Januari lalu sebagai mengelirukan serta tidak selari dengan kerangka perundangan sedia ada.
Menurut JK GBBSEM, rujukan kepada gaji minimum nasional RM1,700 tidak wajar digunakan terhadap pekerja gig kerana perintah gaji minimum itu hanya terpakai kepada pekerja di bawah Akta Kerja 1955, manakala pekerja gig tertakluk kepada Akta Pekerja Gig 2025.
“Akta Pekerja Gig memperuntukkan hak kepada pekerja gig untuk bersuara melalui Majlis Perundingan Gig dalam penentuan kadar pendapatan minimum.
“Jika dari awal menteri sudah menolak cadangan harga lantai, usaha menggubal undang-undang dan dasar melindungi pekerja gig seolah-olah tidak bermakna,” kata kenyataan itu lagi.
JK GBBSEM turut menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya tidak terus berlengah dalam mengambil tindakan tegas bagi menjaga kebajikan pekerja gig yang sekian lama terkesan akibat kelewatan keputusan dan sikap berdolak-dalih pihak berwajib.
Sebelum ini, Ramanan dilaporkan berkata kerajaan belum bercadang menetapkan satu kadar harga lantai tetap bagi setiap perjalanan penghantaran, namun perniagaan platform e-hailing dan p-hailing boleh mengambil langkah menyelaras perkara itu bersama pekerja masing-masing.
Beliau berkata, pihak penyedia platform perlu menyelaraskan harga lantai upah yang tetap dan berpatutan dengan pekerja.
“Pendapatan minimum telah diselaraskan pada RM1,700. Itu dasar kerajaan. Tetapi pengendalian kadar bayaran rider (penghantar) berada di bawah platform masing-masing selagi mematuhi akta dan undang-undang sedia ada,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








