Thailand perketat saringan lapangan terbang selepas kelawar tempatan dikesan bawa Virus Nipah
BANGKOK – Thailand memperkukuh saringan kesihatan di lapangan terbang antarabangsa utama selepas pegawai kesihatan mengesahkan sebahagian populasi kelawar buah tempatan membawa Virus Nipah, meskipun tiada kes jangkitan manusia dilaporkan setakat semalam.
Perkara itu dikongsi Public Health Malaysia (PHM) menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurut laporan Bangkok Post, Timbalan Setiausaha Tetap Kesihatan, Dr Sophon Iamsirithaworn berkata, tumpuan kini adalah memantau penumpang yang tiba di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Don Mueang dan Phuket.
Saringan ketat diberikan kepada pelawat dari negara berisiko yang menunjukkan gejala demam atau masalah pernafasan serta mereka yang mempunyai sejarah perjalanan ke kawasan wabak dalam tempoh 21 hari lalu.
“Walaupun tiada kes manusia dilaporkan, kita perlu berwaspada kerana sebahagian kelawar buah tempatan positif Virus Nipah,” katanya.
Selain risiko import, Thailand juga berdepan ancaman domestik.
Ujian makmal mendapati kira-kira 10 peratus sampel kelawar buah tempatan positif Virus Nipah,
Bagaimanapun, kadar itu lebih rendah berbanding populasi kelawar di India yang mencatatkan kadar 40 hingga 50 peratus.
Kerajaan Thailand telah melarang operasi ladang babi di kawasan yang menjadi habitat kelawar bagi memutuskan rantaian jangkitan kerana babi boleh bertindak sebagai perumah perantara yang menggandakan virus sebelum menjangkiti manusia.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Kawalan Penyakit (DDC), Dr Jurai Wongsawat menegaskan bahawa Virus Nipah perlu dipandang serius kerana tiada vaksin atau ubat khusus.
“Penyakit ini boleh menyebabkan radang paru-paru yang teruk dan keradangan otak (ensefalitis) dengan kadar kematian antara 40 hingga 75 peratus,” katanya.
Menurut Dr Arkom Chaiwerawattana dari Institut Kesihatan Kanak-Kanak Nasional Queen Sirikit, pihaknya turut memberi amaran bahawa kanak-kanak adalah golongan paling rentan.
“Gejala awal seperti demam, sakit kepala dan muntah mungkin kurang ketara tetapi boleh berkembang kepada sawan dan kegagalan pernafasan dengan pantas,” katanya.
Dalam pada itu, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan dan Sukan, Natthriya Thaweevong menegaskan Thailand masih selamat untuk dikunjungi kerana sistem kesihatan negara memiliki kapasiti makmal dan rangkaian pemantauan mengikut piawaian antarabangsa.
“Pelancong dan orang ramai dinasihatkan supaya peka dengan informasi rasmi dan segera mendapatkan rawatan jika mengalami gejala selepas pulang dari luar negara,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








