Tiga penjenayah Malaysia bertindak ganas di Mumbai selepas diusir dari UK
MUMBAI – Tiga penjenayah warga Malaysia yang menjadi buruan pihak berkuasa menerusi Operasi Jack Sparrow bertindak ganas selepas diusir dari United Kingdom (UK) sebelum mencetuskan kekecohan di Lapangan Terbang Antarabangsa Chhatrapati Shivaji Maharaj (CSMIA), di sini.
Menurut laporan New Delhi Television (NDTV), ketiga-tiga lelaki terbabit kini ditahan di bawah pengawasan keselamatan tahap tinggi dalam sebuah bilik khas di lapangan terbang berkenaan.
Difahamkan, mereka terlibat dalam pergaduhan fizikal dengan anggota Pasukan Keselamatan Perindustrian Pusat (CISF) sebaik tiba semula di Mumbai selepas dinafikan kemasukan ke Manchester oleh pihak imigresen UK.
Ketibaan mereka dilaporkan mencetuskan kebimbangan diplomatik antarabangsa apabila pasukan khas polis elit Malaysia dijangka tiba di Mumbai dalam tempoh 48 jam bagi tujuan penahanan dan tindakan lanjut.
Sumber memaklumkan, ketiga-tiga suspek sebelum ini berjaya menyusup keluar dari Malaysia dan transit melalui Mumbai sebelum menaiki penerbangan ke Manchester.
Bagaimanapun, usaha mereka untuk memasuki UK gagal apabila pegawai imigresen Britain yang telah dimaklumkan mengenai status mereka sebagai penjenayah berprofil tinggi bertindak menolak kemasukan.
“Memandangkan mereka tiba dari Mumbai, protokol antarabangsa menetapkan supaya mereka dihantar semula ke lokasi berlepas terakhir,” memetik HM online.
Situasi menjadi tegang sebaik pesawat dari Manchester mendarat di Mumbai apabila ketiga-tiga suspek menyedari mereka tidak mempunyai laluan keluar.
“Saksi menggambarkan keadaan ketika itu sebagai kacau-bilau apabila mereka bertindak agresif, melawan dan cuba menghalang penahanan,” katanya lagi.
Menurut sumber keselamatan, ketiga-tiga lelaki itu kini berada di bawah pengawasan 24 jam dengan kawalan keselamatan diperketat bagi mengelakkan sebarang cubaan melarikan diri.
Kes berkenaan turut menimbulkan persoalan dalam kalangan pihak berkuasa India mengenai bagaimana tiga penjenayah paling dikehendaki itu boleh melepasi pemeriksaan keselamatan dan menaiki penerbangan antarabangsa.
Pihak penyiasat sedang meneliti kemungkinan penggunaan dokumen palsu atau kelemahan dalam sistem notis merah antarabangsa ketika proses transit awal.
Dalam perkembangan berkaitan, pihak berkuasa lapangan terbang Mumbai dilaporkan sentiasa berhubung dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menyelaraskan tindakan seterusnya.
Ketiga-tiga suspek dikenal pasti sebagai individu utama yang menjadi sasaran Operasi Jack Sparrow, operasi besar-besaran PDRM yang dilancarkan pada penghujung 2025 bagi melumpuhkan sindiket jenayah terancang.
Operasi berkenaan yang diketuai Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail menyasarkan dua kumpulan jenayah yang dipercayai terbabit dalam lebih 80 kes jenayah, termasuk pembunuhan, pembakaran, rompakan berkumpulan, kes dadah serta tembakan terbuka di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang.
Motif utama kegiatan mereka dipercayai berkait perebutan kawasan, pengaruh serta keuntungan haram.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








