BERITA SEMASAPOLITIK

PAS tegas soal disiplin, Ahmad Fadhli ingatkan MB Perlis fokus tadbir negeri

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari menegaskan tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS yang keahlian mereka terhenti kerana melanggar disiplin parti, menunjukkan bahawa PAS tidak boleh bertolak ansur dengan isu disiplin.

Ahmad Fadhli berkata, Menteri Besar Perlis yang baharu, Abu Bakar Hamzah, perlu menumpukan perhatian menjaga negeri dengan baik tanpa mencampuri urusan parti lain.

“MB cukup jaga negeri dan pastikan tidak jadi MB Perlis tersingkat dalam sejarah, cukup dah tu,” ujarnya dalam kenyataan di Faceboook.

Ahmad Fadhli menambah, sekiranya PAS ingin bermain politik, enam orang ADUN PAS boleh mengisytiharkan ‘perang’, seperti mana MB terdahulu pernah mengisytiharkan ‘perang’ kepada kepimpinan MB Perlis pada November 2023 kerana tidak dilantik menjadi exco.

“ADUN PAS ni bukan macam MB dan parti kami bukan macam parti MB. Rakyat lebih utama,” katanya lagi.

Baca juga : PAS tegaskan keputusan singkir tiga bekas ADUN Perlis bukan arahan individu tapi parti

Semalam, Mohd Syahir Che Sulaiman yang merupakan setiausaha politik kepada Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan keputusan pemberhentian keahlian tiga bekas ADUN Perlis merupakan keputusan muktamad kepimpinan pusat parti.

Beliau berkata, keputusan itu bukan arahan peribadi Abdul Hadi, sebaliknya telah diluluskan oleh Muktamar PAS dengan sokongan sebulat suara.

Kenyataan Syahir itu dibuat selepas Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin berkata masih terdapat kemungkinan penyelesaian berhubung kedudukan tiga Adun terbabit kerana keputusan berkenaan tertakluk kepada pertimbangan Majlis Syura.

Tiga bekas Adun PAS itu dihentikan keanggotaan kerana menarik balik sokongan terhadap bekas Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, bersama lima ADUN BERSATU lain, yang seterusnya membuka jalan untuk Abu Bakar mengambil alih tampuk kuasa negeri.

Susulan itu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis Rus’sele Eizan mengisytiharkan kekosongan luar jangka terhadap kerusi dimenangi mereka sebelum ini.

Ketiga-tiga mereka memfailkan saman pemula bagi mencabar keputusan itu.

Rus’sele telah menarik balik notis pemakluman keperluan pilihan raya kecil (PRK) bagi tiga kerusi itu selepas mengambil kira komitmen PAS untuk menyokong kelangsungan pentadbiran baru.

PAS bagaimanapun enggan menyertai barisan exco di bawah Abu Bakar.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button