PM syor batalkan projek ladang babi Bukit Tagar, cari lokasi baharu
BANGI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengesyorkan agar projek ternakan babi berpusat di Bukit Tagar, Selangor, dibatalkan atau dipindahkan ke lokasi baharu susulan keresahan penduduk setempat.
Beliau berkata, langkah itu akan dibincangkan bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, bagi mencari penyelesaian terbaik.

Katanya, isu berkenaan dibangkitkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini berikutan kebimbangan rakyat di kawasan tersebut.
“Saya akan bincang dengan Menteri Besar Selangor untuk mendapatkan pandangan supaya kalau boleh batalkan dulu projek itu dan pertimbangkan kawasan lebih sesuai dengan syarat teknologi terjamin,” memetik laporan BERNAMA.
Anwar berkata, walaupun teknologi moden digunakan, projek yang menimbulkan keresahan awam tidak wajar diteruskan.
“Kerajaan persekutuan tetap prihatin walaupun isu ini berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri,” katanya lagi.
Sebelum itu, Amirudin dilapor berkata kerajaan negeri masih belum mengenal pasti lokasi alternatif bagi menggantikan Bukit Tagar, namun kekal terbuka untuk sebarang perbincangan bagi memastikan sistem ternakan dijalankan secara teratur.
Pada 10 Januari lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menzahirkan dukacita dan tidak bersetuju dengan perancangan kerajaan negeri, khususnya kemungkinan pengenalan babi berskala besar dan berorientasikan eksport.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








