Politik

Mahu bertanding jawatan Presiden jangan sorok-sorok, umum awal – Isham Jalil

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil mengumumkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO adalah terbuka untuk dipertandingkan.

Katanya, sesiapa yang berhasrat untuk bertanding dua jawatan itu perlu mengumumkannya lebih awal.

“Secara peribadi saya terbuka untuk jawatan berkenaan dipertandingkan. Ada beberapa pihak kata kita tak bagi bertanding, itu tidak betul. Ia bagi menimbulkan rasa marah dan tak puas hati.

“Ramai pihak menyatakan supaya jawatan itu tidak dipertandingkan dan tiada mencabar. Sayap-sayap parti memberi usul mencadangkan begini bagi mengelak huru-hara di masa kritikal ini.

“Sekiranya ada yang mahu masuk (bertanding) terpulang kepada mereka. Tapi umum awal-awal jangan berselindung di sebalik gerak konco-konco.

“Kita cuma ada tiga hingga empat bulan lagi, siapa nak bertanding umum sekarang,” katanya dalam sidang media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Ketua UMNO bahagian Rembau, Khairy Jamaluddin supaya jawatan Presiden dipertandingkan bagi mengekalkan demokrasi dalam parti politik Melayu itu.

Terdahulu, Khairy menerusi satu kenyataan di Instagramnya berkata, Ahmad Zahid seorang pejuang dan tidak gentar menghadapi pencabar untuk merebut jawatan Presiden parti.

Semalam, 140 Ketua Bahagian UMNO seluruh negara bersepakat supaya jawatan presiden yang kini disandang Ahmad Zahid Hamidi tidak dipertandingkan pada pemilihan Perhimpunan Agung UMNO.

Show More

Related Articles

Back to top button