BERITA SEMASA

Sultan Selangor berkenan saksikan pemeteraian MoU pembangunan Bandar Pintar

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli berangkat bagi menyaksikan Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) Pembangunan Bandar Pintar negeri Selangor.

Turut berangkat mengiringi baginda ialah Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), majlis yang berlangsung di Concorde Hotel, Shah Alam ini menandakan kerjasama antara pihaknya dengan kerajaan negeri Selangor dalam memperluas pembangunan infrastruktur kesalinghubungan pintar.

Katanya, ia meliputi penyediaan perkhidmatan Wi-Fi awam berkelajuan tinggi, peluasan rangkaian gentian optik bagi keperluan masa hadapan, pelaksanaan rangkaian generasi kelima (5G) serta pemasangan tiang pintar bagi memastikan liputan rangkaian yang menyeluruh di seluruh negeri, di samping memperkukuh keselamatan awam, pengurusan trafik dan pengurusan banjir pintar.

“Kesemua inisiatif ini akan dipantau melalui Selangor Integrated & Intelligent Operations Centre (SIIOC). Pada masa sama, peruntukan bagi menyokong pelaksanaan inisiatif ini telah dipertingkat kepada RM450 juta, berbanding peruntukan asal RM350 juta, susulan permohonan yang dikemukakan oleh kerajaan negeri kepada MCMC,” katanya hari ini.

Dalam pada itu sesi pertukaran dokumen MoU telah disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan negeri Selangor, Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin dan Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din serta disaksikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Bagi memacu transformasi strategik ini selari dengan aspirasi nasional Malaysia Digital 2030 dan Pelan Pendigitalan Negeri Selangor 2026-2030, Smartsel Sdn Bhd (SMARTSEL), anak syarikat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor, bertindak sebagai agensi pelaksana utama untuk menyelaraskan integrasi lima komponen bandar pintar termasuk mobiliti, keselamatan awam, pengurusan bencana, tadbir urus digital, serta ketersambungan industri melalui rangkaian 5G.

Kerjasama itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan teknologi termaju seperti 5G dan kecerdasan buatan (AI) memberi manfaat kepada rakyat.

Inisiatif Bandar Pintar Negeri Selangor bukan sahaja memfokuskan pembangunan infrastruktur, malah memperkasakan komuniti melalui perkhidmatan digital yang cekap, selamat dan inklusif, selaras dengan kerangka Malaysia MADANI.

Prakarsa Pembangunan Bandar Pintar Selangor bersedia memperkukuh transformasi teknologi bersepadu di peringkat negeri, termasuk pengintegrasian data masa nyata daripada sensor IoT di seluruh Selangor, bagi menangani cabaran perbandaran yang semakin kompleks serta memperkukuh penyelarasan penyampaian perkhidmatan merentas agensi kerajaan negeri.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button