Matriks Pembelajaran Malaysia: Fadhlina minta ibu bapa, guru tidak panik
PUTRAJAYA – Ibu bapa dan guru-guru dinasihatkan bertenang berikutan pelaksanaan ujian penilaian darjah 4 yang akan dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia mulai Oktober ini.
Menteri Pendidikan, Datuk Fadhlina Sidek berkata, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai sistem yang diberi nama Matriks Pembelajaran Malaysia itu mampu memberi impak kepada seluruh komuniti pendidikan negara.
“Matriks Pembelajaran ini sangat penting. Tapi saya minta ibu bapa dan guru-guru jangan panik kerana kita ada masa. Ia bukan sistem peperiksaan yang perlu ditekan-tekan kepada anak-anak.
“Penting saya ulang, jangan panik dan jangan rasa tertekan kerana ini adalah Matriks Pembelajaran,” katanya dalam satu sidang media selepas Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.
Baca juga : PM umum peperiksaan Tahun 4 diperkenal mulai tahun ini
Fadhlina menjelaskan, Matriks Pembelajaran Malaysia merangkumi pengukuran lebih luas dan bukan sekadar peperiksaan memandangkan ia dilaksanakan di peringkat darjah 4 bagi memberi ruang intervensi selama dua tahun sebelum pelajar memasuki darjah 6.
“Matriks Pembelajaran ini adalah soal intervensi, pengukuhan dan mendukung kurikulum baru. Ia mesti mendukung, bukan semata-mata sistem peperiksaan. Yang paling penting, ia dilaksanakan oleh Lembaga Peperiksaan untuk memastikan keyakinan awam terhadap ujian ini,” ujarnya.
Menurut beliau, pelaksanaan ujian ini dijadualkan pada bulan Oktober bagi membolehkan keputusan pencapaian dan penilaian diselesaikan sebelum cuti sekolah.
Sekiranya terdapat isu, Fadhlina berkata, ia akan disambung di darjah 5 dan darjah 6 bagi pengukuhan sebelum pelajar melangkah ke sekolah menengah.
Sementara itu, pengukuran Pembelajaran Tingkatan Tiga pula akan diperkenal mulai 2027 membabitkan lima mata pelajaran utama iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, penglibatan Lembaga Peperiksaan adalah untuk memastikan proses penilaian dijalankan dengan profesional dan telus.
“Dengan Lembaga Peperiksaan yang dipercayai rakyat, penilaian ini akan mempunyai kredibiliti tinggi dan keputusan yang diperoleh boleh dijadikan asas pengukuhan yang objektif bagi semua pelajar,” jelasnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








