MCMC siasat portal berita susulan dakwaan silap terjemah titah YDPA
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sudah melancarkan siasatan berhubung dakwaan kesilapan terjemahan titah Yang di‑Pertuan Agong oleh sebuah portal berita.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan tindakan terhadap penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan komunikasi sehingga boleh menimbulkan kekeliruan, kegusaran awam atau menjejaskan keharmonian.
“Pihak MCMC telah memaklumkan kepada saya mengenai isu kandungan dalam talian terbitan China Press yang didakwa mengandungi kesilapan terjemahan titah Kebawah Duli Yang di‑Pertuan Agong ketika Istiadat Pembukaan Sidang Parlimen semalam.
“Siasatan sedang dijalankan, susulan aduan rasmi yang dibuat oleh orang awam,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Fahmi menambah, sebarang laporan polis mengenai isu itu adalah proses berasingan dan akan disiasat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.
Beliau turut menggesa Majlis Media Malaysia (MMM) supaya memainkan peranan sebagai badan bebas yang bertanggungjawab memastikan pematuhan etika kewartawanan, menggalakkan pelaporan tepat dan bertanggungjawab serta bertindak sebagai platform kawal selia kendiri dalam menangani aduan berkaitan media secara profesional.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak mengeluarkan komen melampau atau berbaur fitnah, khususnya di media sosial dan sentiasa menghormati institusi Raja selain memberi ruang kepada proses undang-undang yang sedang berjalan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








