MP Kepong tuntut bekas wartawan FMT Rex Tan dibebaskan segera
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng menuntut supaya bekas wartawan Free Malaysia Today (FMT), Rex Tan, dibebaskan serta-merta daripada tahanan Polis Diraja Malaysia (PDRM), susulan penahanannya tengah malam tadi.
Menurut Lim, Tan telah tampil memohon maaf secara terbuka, mengakui kesilapannya, menzahirkan penyesalan serta menyatakan kesediaan penuh untuk memberikan kerjasama kepada pihak polis.
Beliau berkata, dalam keadaan tersebut, tindakan menahan Tan selepas tengah malam, selepas beliau dipanggil hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, disifatkan sebagai bersifat menekan dan represif.
“Tindakan ini menimbulkan persoalan serius mengenai ketelusan dan kesaksamaan dalam penguatkuasaan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Lim turut membangkitkan isu layanan berbeza dalam penguatkuasaan undang-undang apabila terdapat tokoh politik yang mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman dan sensitif tidak pernah ditahan walaupun laporan polis dibuat terhadap mereka.
Menurut beliau, terdapat juga ahli politik yang dikaitkan dengan skandal rasuah melibatkan rampasan wang berbilion ringgit daripada bekas pegawai mereka, namun masih bebas tanpa sebarang penahanan.
“Mengapa layanan berbeza dikenakan terhadap Tan? Adakah undang-undang hanya tegas terhadap individu tertentu tetapi longgar terhadap mereka yang berpengaruh?” soalnya.
Beliau menegaskan, penguatkuasaan undang-undang tidak boleh dijadikan alat untuk menghukum secara terpilih kerana amalan tersebut mencabul prinsip keadilan serta kedaulatan undang-undang negara.
Terdahulu, FMT melaporkan bekas wartawannya, Rex Tan, 31, ditahan polis tengah malam tadi susulan soalan kontroversi yang dikemukakannya dalam satu wacana awam pada Isnin lalu.
Peguamnya, Rajsurian Pillai mengesahkan penahanan itu dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, dengan siasatan dikendalikan oleh Bukit Aman.
Wacana awam berkenaan bertajuk “Gaza Exposes the Complicity of International Actors” yang menampilkan ahli politik Britain, George Galloway.
Susulan kecaman meluas di media sosial, Tan tampil memohon maaf secara terbuka dan mengakui gagal mengambil kira kesesuaian soalan yang dikemukakannya serta tidak mempertimbangkan sensitiviti isu berkenaan.
Beliau turut mengakui gagal memenuhi tahap profesionalisme yang diharapkan daripada seorang wartawan serta merayu orang ramai agar tidak menyerang FMT Media dan ahli keluarganya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







