PRN Melaka diadakan tahun ini – Ab Rauf
KUALA LUMPUR – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengesahkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan diadakan pada tahun ini berikutan tamatnya tempoh penggal pentadbiran Dewan Undangan Negeri (DUN) sedia ada.
Beliau berkata, penggal pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka yang bermula selepas PRN 2021 dijadualkan berakhir tahun ini, sekali gus memerlukan pembubaran DUN bagi memberi laluan kepada PRN baharu.
“Memandangkan penggal pentadbiran Kerajaan Melaka berakhir pada tahun ini, maka PRN Melaka akan diadakan pada tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL), malam tadi.
PRN Melaka sebelum ini diadakan pada 20 November 2021 susulan pembubaran DUN pada Oktober tahun sama, yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) memperoleh kemenangan besar dengan memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN.
Selepas kemenangan tersebut, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka sebelum jawatan itu disandang oleh Ab Rauf Yusoh pada Mac 2023, susulan perubahan kepimpinan di peringkat negeri.
Sejak itu, Kerajaan Negeri Melaka diterajui oleh BN dengan sokongan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, selari dengan pembentukan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Dalam perkembangan berkaitan, Ab Rauf berkata, persiapan awal ke arah PRN termasuk penyelarasan jentera parti serta kesiapsiagaan pentadbiran negeri akan dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang dan perlembagaan negeri.
Bagaimanapun, beliau menegaskan sebarang keputusan berkaitan tarikh pembubaran DUN dan PRN akan mengambil kira situasi semasa serta kepentingan rakyat Melaka.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








