BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Hannah Yeoh zahir rasa syukur, sifatkan keputusan mahkamah bersihkan namanya

PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menzahirkan rasa syukur dan gembira susulan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang membenarkan saman fitnahnya terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Beliau berkata, kes tersebut bermula apabila Musa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah dalam satu forum di Universiti Teknologi MARA (UiTM) enam tahun lalu, termasuk dakwaan yang mengaitkannya dengan kumpulan Evangelist dan Yahudi serta menuduh beliau menulis buku untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian.

“Selama enam tahun, saya terpaksa hidup dengan pelbagai pembohongan dan fitnah yang berlegar di media sosial yang bukan sahaja mencemarkan nama baik saya malah turut mengelirukan orang ramai,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Menurut Hannah, tuduhan tersebut lebih mengelirukan kerana ia dibuat oleh seorang bekas Ketua Polis Negara yang seharusnya bertindak dengan lebih cermat serta berasaskan fakta yang sahih, bukannya dakwaan yang mencetuskan persepsi salah.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan kesyukuran kepada Tuhan serta merakamkan penghargaan kepada barisan peguamnya iaitu Datuk Ambiga Sreenevasan, Razlan Hadri Zulkifli, Sangeet Kaur Deo dan Lim Wei Jiet yang terlibat sepanjang proses perundangan tersebut.

Baca juga : Dakwaan Musa Hassan terhadap Hannah Yeoh ada asas

“Kini, tumpuan saya adalah untuk terus melaksanakan amanah kepada rakyat dengan penuh integriti, tanggungjawab dan keikhlasan. Semoga hidup saya terus memuliakan Tuhan melalui khidmat saya kepada rakyat,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Rayuan memerintahkan Musa membayar ganti rugi sebanyak RM250,000 kepada Hannah selepas mendapati beliau memfitnah menteri itu dalam forum di UiTM enam tahun lalu.

Keputusan sebulat suara itu dibuat oleh panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Azimah Omar bersama Hakim Datuk Dr Choo Kah Sing dan Datuk Dr Shahnaz Sulaiman selepas membenarkan rayuan Hannah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button