Sultan Selangor bantah penganjuran aktiviti songsang Glamping with Pride
SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan pendirian tegas dengan membantah sekeras-kerasnya sebarang penganjuran aktiviti songsang melibatkan komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di seluruh negeri Selangor.
Menerusi kenyataan bersama Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin dan Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir, baginda menitahkan supaya tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam penganjuran atau promosi aktiviti berkaitan LGBT.
Menurut kenyataan itu, Sultan Sharafuddin tidak berkenan sebarang bentuk festival, perarakan, aktiviti, sambutan mahupun promosi gaya hidup songsang LGBT di mana-mana daerah di Selangor.
“Baginda juga tidak berkenan terhadap sebarang penubuhan persatuan, kelab atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan dengan LGBT di negeri ini.
“Walaupun perbuatan tersebut merupakan dosa individu antara hamba dengan Allah SWT dan melangkaui batas fitrah, namun ia berpotensi mengundang kemurkaan serta laknat Allah SWT ke atas negeri ini,” menurut kenyataan tersebut hari ini.
Terdahulu, Sultan Sharafuddin menitahkan Salehuddin dan Dr Anhar menghadap baginda di Istana Bukit Kayangan bagi menyatakan pendirian baginda berhubung penganjuran program Glamping with Pride yang dilaporkan akan diadakan pada 17 dan 18 Januari ini di Hulu Langat dan dikaitkan dengan komuniti LGBT.
Berdasarkan kenyataan bersama itu, agama Islam dengan jelas mengharamkan amalan songsang LGBT yang mempunyai persamaan dengan perbuatan kaum Nabi Lut AS.
Salehuddin dan Dr Anhar menegaskan bahawa sebarang usaha mempromosi atau menghalalkan gaya hidup songsang LGBT adalah bercanggah dengan Maqasid Syariah khususnya dalam aspek menjaga keturunan (Hifz al-Nasl).
“Selain itu, penganjuran atau promosi aktiviti LGBT boleh membawa kepada normalisasi gaya hidup tersebut, sekali gus menjadi ancaman terhadap akidah umat Islam kerana ia menghalalkan perkara yang jelas diharamkan oleh agama,” menurut kenyataan itu.
Susulan pendirian tegas Sultan Selangor, MAIS dan Mufti Selangor menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) agar tidak mengeluarkan sebarang permit dan mengambil langkah menghalang penganjuran program berkenaan serta sebarang aktiviti seumpamanya di Selangor.
Selain itu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), PBT dan PDRM turut diminta menjalankan pemantauan rapi serta mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang bagi memastikan titah Sultan Selangor dilaksanakan sepenuhnya.
“Keterlibatan dan komitmen semua pihak amat dituntut dalam memelihara kesucian agama Islam serta memastikan Selangor kekal harmoni dan bebas daripada sebarang amalan songsang yang bertentangan dengan ajaran Islam,” menurut kenyataan tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








