BERITA SEMASADALAM NEGERI

Hotel mesra gay di Melaka cetus kebimbangan – Firdaus Wong

MELAKA – Pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung mendedahkan kewujudan sebuah hotel di Melaka yang didakwa mempromosikan premis sebagai “gay friendly” atau mesra gay, sekali gus mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan masyarakat.

Pendedahan itu dibuat menerusi satu hantaran di media sosial disertakan tangkap layar laman sesawang hotel berkenaan yang secara jelas memaklumkan status “Gay Friendly” sebagai ciri atau kelebihan yang ditawarkan kepada pelanggan.

Firdaus dalam perkongsiannya mempersoalkan trend penjenamaan perniagaan yang menurutnya semakin berani menggunakan label tertentu sebagai strategi pemasaran.

“Selain pet-friendly mall, Malaysia juga kini mempunyai ‘family friendly’, ‘child friendly’ dan yang terbaru, ‘gay friendly’ hotel di Melaka,” tulisnya.

Hantaran Firdaus Wong mengenai sebuah hotel di Melaka yang didakwa menggunakan istilah ‘gay friendly’ atau mesra gay.

Beliau menyifatkan penggunaan label tersebut sebagai ‘kreatif’ dari sudut pemasaran namun mengundang persoalan besar berkaitan nilai dan norma masyarakat tempatan.

“Label ‘Muslim friendly’ pun boleh dijadikan bisnes, apatah lagi ‘gay friendly’. Lepas ini apa pula idea kreatif akan muncul? ‘Babi friendly’ atau ‘LGBT friendly’?” katanya secara sinis.

Firdaus turut menyindir penggunaan istilah ‘friendly’ yang sebelum ini lazimnya dikaitkan dengan sukan atau aktiviti tertentu namun kini digunakan secara terbuka untuk mencerminkan kecenderungan orientasi seksual.

“Ingatkan sukan saja ada ‘friendly’, tak sangka pula ‘gay’ pun ada ‘friendly’ secara terbuka,” ujarnya.

Perkongsian tersebut mencetuskan pelbagai reaksi netizen, dengan sebahagian menyuarakan kebimbangan terhadap usaha menormalisasikan penerimaan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) melalui platform perniagaan dan industri pelancongan.

Isu itu turut menarik perhatian ramai selepas tangkap layar laman web hotel berkenaan tular, sekali gus menimbulkan desakan agar pihak berkuasa mengambil perhatian terhadap bentuk promosi yang didakwa bercanggah dengan sensitiviti masyarakat setempat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button