BERITA SEMASADALAM NEGERI

Mohamad Sabu kagum kejayaan 20 petani Projek Ladang Satelit Ehsan Tani

BANTING – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu melahirkan rasa kagum terhadap kejayaan 20 orang petani tempatan yang mengusahakan Projek Ladang Satelit Ehsan Tani di Sungai Kelambu, di sini, sehingga mampu menghasilkan tanaman cili berkualiti tinggi dan berdaya saing di pasaran.

Beliau berkata, projek yang melibatkan kawasan seluas 10 ekar itu diusahakan dengan lebih 40,000 polibeg tanaman cili serta diurus secara sistematik dan berdisiplin, sekali gus mencerminkan komitmen tinggi para petani yang terlibat sepenuh masa.

Menurut Mohamad, hasil lawatan dan tinjauan di ladang berkenaan mendapati kualiti cili yang dihasilkan bukan sahaja segar dan menarik, malah menepati piawaian pasaran semasa.

“Apabila turun padang dan melihat sendiri hasilnya, saya berasa kagum dengan kesungguhan serta kemampuan petani tempatan mengurus ladang ini dengan begitu baik. Ini membuktikan sektor pertanian mampu berkembang pesat jika diusahakan dengan ilmu dan perancangan rapi,” katanya.

Mohamad Sabu semasa lawatan ke Ladang Satelit Ehsan Tani di Sungai Kelambu, Banting, Selangor.

Beliau turut menggalakkan golongan yang berminat menceburi bidang penanaman cili supaya menjadikan projek berkenaan sebagai lokasi rujukan bagi menimba pengalaman dan berkongsi ilmu secara langsung dengan pengusaha ladang.

Tambah beliau, kejayaan Projek Ladang Satelit Ehsan Tani membuktikan bahawa gabungan usaha, ilmu dan komitmen mampu memperkukuh sektor pertanian tempatan serta menyumbang kepada agenda keterjaminan makanan negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button