Pelajar UniSZA maut dirempuh kereta langgar lampu isyarat
KUALA TERENGGANU – Seorang penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) maut selepas kenderaan dipandunya dirempuh sebuah kereta dalam kemalangan di simpang empat lampu isyarat Jalan Bukit Kecil, berhampiran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), di sini, tengah hari tadi.
Dalam kejadian pukul 1.31 tengah hari itu, mangsa, Syakirah Hanan Mazli, 24, yang memandu sebuah Perodua Viva, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat rempuhan kuat.
Berdasarkan rakaman kamera papan pemuka (dashcam) yang tular di media sosial, kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kereta jenis Honda Jazz yang dipandu seorang lelaki memecut laju dan melanggar lampu isyarat merah sebelum merempuh kenderaan mangsa yang sedang membelok ke kanan selepas lampu isyarat bertukar hijau.
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Terengganu, Mohd Salleh Abdullah berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kenderaan.
Menurut beliau, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.39 tengah hari dan tiba di lokasi kejadian kira-kira seminit kemudian.
“Sebaik tiba, kami mendapati pemandu lelaki yang identitinya belum dikenal pasti telah dikeluarkan oleh orang awam dan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk mendapatkan rawatan.
“Kami juga perlu memastikan mangsa yang tersepit bebas daripada risiko aliran elektrik kerana sebuah tiang elektrik tumbang akibat rempuhan dalam kemalangan tersebut,” katanya.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tindakan lanjut.
Dalam perkembangan berkaitan, Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEPA) UniSZA mengesahkan mangsa merupakan pelajar Diploma Pasca Siswazah Pendidikan di Fakulti Pengajian Islam Kontemporari.
Pihak universiti menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan memaklumkan sedang berurusan dengan pihak berkuasa serta hospital bagi menguruskan hal berkaitan, selain menyalurkan bantuan khairat kematian termasuk sumbangan RM6,000 dan insurans kematian berjumlah RM12,000.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |









