BERITA SEMASA

Masalah kesihatan, urusan peribadi faktor utama bakal jemaah haji tangguh ke Tanah Suci

BACHOK – Masalah kesihatan dan hal peribadi merupakan alasan paling tinggi diberikan bakal jemaah bagi menangguhkan urusan untuk ke Tanah Suci pada musim haji tahun ini.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan, kedua-dua faktor berkenaan mengatasi isu kewangan yang sebelum ini menjadi alasan utama penangguhan jemaah untuk menunaikan haji, lapor Kosmo.

“Hasil pelbagai inisiatif dilaksanakan oleh Tabung Haji, peratusan jemaah yang menangguhkan tawaran menunaikan haji pada tahun ini menunjukkan penurunan ketara berbanding tahun lalu yang merekodkan hampir 50 peratus.

“Masalah kesihatan dan hal peribadi merupakan alasan paling tinggi yang diberikan jemaah haji berbanding isu kewangan. Secara keseluruhannya, peratusan jemaah yang menangguhkan ibadah haji berkurangan tahun ini,” katanya selepas Sesi Penyerahan Sinar Lestari Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di Kampung Aman, Kandis, di sini hari ini.

Zulkifli memberitahu, rayuan haji masih dibuka sehingga bulan Ramadan dan kerajaan komited untuk memastikan jemaah yang membuat penangguhan akan diganti dengan jemaah lain.

Katanya, penggantian itu bagi memastikan kuota yang diberikan oleh Kerajaan Arab Saudi dimanfaatkan sebaik mungkin.

Media sebelum ini melaporkan, Malaysia masih menunggu maklum balas daripada Kerajaan Arab Saudi berhubung permohonan kuota tambahan jemaah haji 2026 berikutan keputusan negara itu untuk mengekalkan kuota sebanyak 31,600 jemaah pada tahun ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button