AGAMABERITA SEMASA

Hari Tarwiyah: Permulaan perjalanan rohani menuju kemuncak haji di Arafah

HARI Tarwiyah yang jatuh pada 8 Zulhijah merupakan antara fasa penting dalam ibadah haji apabila para jemaah mula meninggalkan Kota Mekah menuju ke Mina sebagai persiapan sebelum wukuf di Arafah.

Pada hari ini, jutaan jemaah haji dari seluruh dunia akan bergerak secara berperingkat menuju Mina sambil memperbanyakkan talbiyah, zikir dan doa sebagai tanda memenuhi panggilan Allah SWT dalam perjalanan ibadah yang penuh makna.

Ketua Eksekutif Kolej Islam As Sofa, Ustaz Dr Muhammad Sufi Ibrahim Al-Hafiz berkata, Hari Tarwiyah juga dikenali sebagai hari persiapan awal sebelum kemuncak haji.

tarwiyah
Poster janaan AI mengenai Hari Tarwiyah.

“Pada hari tersebut, semua jemaah haji akan berada di Mina untuk bermalam serta melaksanakan amalan ibadah seperti solat, zikir dan memperbanyakkan doa sebelum bergerak ke Arafah pada keesokan harinya.

“Istilah Tarwiyah membawa maksud yang berkait rapat dengan konsep persediaan dan bekalan dalam perjalanan ibadah haji.

“Ia berasal daripada perkataan ar-riy yang bermaksud bekalan air. Dahulu kawasan Mina dan Arafah tidak mempunyai kemudahan air seperti hari ini, maka para jemaah mengambil bekalan air secukupnya sebelum bergerak,” jelas beliau.

Beliau turut menegaskan bahawa hikmah Hari Tarwiyah bukan sekadar persediaan fizikal semata-mata, tetapi lebih besar daripada itu ialah persediaan rohani.

“Manusia bukan sekadar perlukan bekalan air, tetapi lebih utama adalah bekalan iman,” katanya.

Dr Muhammad Sufi Ibrahim Al Hafiz

Beliau turut membawakan firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 197 bagi mengingatkan umat Islam tentang kepentingan membawa bekalan terbaik dalam kehidupan.

“Berbekallah, dan sebaik-baik bekalan ialah takwa.”

Tambah beliau, dalam konteks ibadah haji, Hari Tarwiyah menjadi detik penting untuk jemaah melakukan persiapan jiwa seperti menyusun niat, memperbanyakkan istighfar, membuang sifat-sifat mazmumah serta meningkatkan fokus ibadah sebelum melangkah ke Padang Arafah.

“Selain itu, hari ini juga menjadi simbol latihan kesabaran dan ketundukan kepada Allah SWT apabila jemaah mula meninggalkan keselesaan di Mekah untuk berada di Mina dalam suasana lebih mencabar sebagai sebahagian daripada perjalanan spiritual haji,” katanya lagi.

Secara umum, jemaah haji akan berada di Mina pada 8 Zulhijah untuk bermalam sebelum berangkat ke Arafah pada 9 Zulhijah bagi melaksanakan wukuf, yang merupakan kemuncak ibadah haji dan saat paling mustajab untuk berdoa.

“Hari Tarwiyah bukan sekadar satu pergerakan dalam rukun haji, tetapi sebuah simbol penyucian diri, pengukuhan iman dan persiapan menuju pengampunan Allah SWT di Arafah,” katanya.

Antara amalan yang boleh dilakukan sempena Hari Tarwiyah ialah:

1. Memperbanyakkan zikir dan istighfar

Hari-hari awal Zulhijah adalah antara hari yang sangat dicintai Allah SWT untuk amal soleh. Memperbanyakkan tasbih, tahmid, takbir dan istighfar membantu ‘membersihkan hati’ sebelum kemuncak Hari Arafah.

2. Puasa sunat (jika mampu)

Walaupun puasa yang sangat dianjurkan ialah puasa Arafah (9 Zulhijah), sebahagian ulama menggalakkan puasa pada awal Zulhijah termasuk pada Hari Tarwiyah bagi mereka yang ingin menambah amalan.

3. Solat sunat dan qiyam

Memperbanyakkan solat sunat seperti solat dhuha, solat taubat dan qiyamullail sebagai persediaan rohani menjelang hari pengampunan di Arafah.

4. Bersedekah

Umat Islam juga digalakkan bersedekah pada hari-hari mulia termasuk Hari Tarwiyah iaitu antara 10 hari terawal bulan Zulhijah yang dipandang besar di sisi Allah SWT.

5. Muhasabah diri

Hari Tarwiyah sangat sesuai untuk menilai kembali amalan, dosa, hubungan dengan Allah dan sesama manusia. Ini termasuk memperbaiki hubungan kekeluargaan dan memohon maaf.

6. Membaca Al-Quran

Menghidupkan hari dengan tilawah Al-Quran membantu melembutkan hati dan menambah ketenangan sebelum masuk ke hari-hari paling utama dalam bulan Zulhijah.

7. Berniat untuk beribadah dengan lebih baik

Umat Islam digalakkan memperbaharui niat untuk terus istiqamah dalam ibadah, bukan hanya pada musim tertentu tetapi berterusan selepas Aidiladha.

8. Memperbanyakkan takbir Zulhijah

Takbir hari raya boleh mula dilaungkan pada hari-hari awal Zulhijah mengikut pendapat sebahagian ulama, sebagai tanda membesarkan Allah SWT.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button