BERITA SEMASAPOLITIK

Sudah berapa kali kamu ubah agama kerana kehendak politik kamu? – Dr Maza

KUALA LUMPUR – Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin atau Dr. Maza hari ini melontarkan sindiran keras terhadap pihak tertentu yang didakwa sering memperalatkan agama demi kepentingan politik.

Menerusi satu hantaran di Facebook hari ini, beliau mempersoalkan sikap individu berkenaan yang didakwa kerap mengubah pendirian agama mengikut keperluan politik semasa.

“Sudah berapa kali kamu ubah agama kerana kehendak politik kamu?” tulisnya dalam hantaran tersebut.

Menurut Mohd. Asri, tindakan segelintir pihak yang mentafsir agama secara berubah-ubah berdasarkan situasi politik bukan sahaja mengelirukan masyarakat malah mencetuskan kekeliruan terhadap prinsip sebenar ajaran Islam.

“Apabila saya kata ‘jika buat tuduhan, nyatakan bukti supaya tiada yang menjadi mangsa’, kamu balas dengan kata ‘Mufti cakap agama sahaja, jangan cakap hal politik. Kalau nak cakap, sila masuk bertanding.’

“Sedangkan semalam kamu pula kata agama dan politik tidak boleh dipisahkan. Malah, kamu pernah kata sesiapa yang memisahkan agama dan politik maka dia menjadi kafir,” katanya.

Beliau turut mengimbas kembali episod lama yang menyaksikan ramai individu menjadi mangsa tuduhan kafir akibat perbezaan fahaman politik yang dibawa oleh pihak tertentu.

“Larangan membuat tuduhan tanpa bukti itu larangan agama. Apakah agama yang kamu perjuangkan selama ini?” ujarnya.

Mohd. Asri sebelum ini memberi maklum balas terhadap kenyataan Presiden Pas dan Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa tekanan projek yang tidak mengikut peraturan menjadi punca Mohd. Shukri Ramli meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perlis.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button