BERITA SEMASA

Mohd Shukri umum letak jawatan sebagai MB Perlis atas faktor kesihatan

KANGAR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang, Mohd Shukri Ramli mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Besar Perlis atas faktor kesihatan, berkuat kuasa hari ini.

Mohd Shukri berkata, beliau juga telah mempersembahkan surat peletakan jawatan sebagai Menteri Besar kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail tengah hari tadi.

Bekas Pesuruhjaya PAS Perlis itu memaklumkan, beliau diperkenankan untuk menghadap Tuanku Syed Sirajuddin di Wad Diraja Hospital Tuanku Fauziah (HTF) dan menyatakan hasrat meletak jawatan berkenaan.

“Saya sudah mempersembahkan kepada Tuanku akan hasrat saya menerusi surat peletakan jawatan sebagai Menteri Besar secara sukarela berkuat kuasa hari ini. Peletakan jawatan ini dilakukan atas faktor kesihatan saya yang tidak mengizinkan akhir-akhir ini.

“Saya dengan ini menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk mempertimbangkan hasrat saya ini,” katanya pada sidang media di Kediaman Rasmi Menteri Besar Perlis, di sini hari ini.

Katanya, beliau hanya meletak jawatan sebagai Menteri Besar dan masih kekal sebagai ADUN Sanglang, jawatan yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.

“Saya masih lagi ADUN Sanglang dan kembali meneruskan tugas saya kepada rakyat di kawasan DUN saya,” katanya.

Pada masa sama beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang banyak membantunya dalam pentadbiran negeri selama ini.

Mohd Shukri adalah Menteri Besar Perlis ke-11, dilantik pada 22 November 2022 dan ahli politik pertama daripada gabungan Perikatan Nasional (PN) yang berjaya mengambil alih pentadbiran negeri daripada Barisan Nasional (BN) selama 65 tahun di Perlis.

Jumaat lalu beberapa ADUN daripada PAS dan BERSATU menyerahkan akuan bersumpah (SD) kepada Raja Perlis pada yang menyatakan mereka tidak lagi menyokong kepemimpinan Mohd Shukri.

Berikutan itu, satu mesyuarat khas dilangsungkan di Ibu Pejabat PAS di Jalan Raja Laut, di sini semalam seperti disahkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS III Perlis.

Hasil Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat itu, keahlian tiga ADUN Perlis daripada parti itu digugurkan berkuat kuasa serta-merta.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang memaklumkan keputusan itu dibuat berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan PAS (Pindaan 2025).

Tiga ADUN terbabit ialah Saad Seman (ADUN Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (ADUN Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (ADUN Guar Sanji.

Bertindak atas keputusan berkenaan, Speaker DUN Perlis, Rus’sele Eizan memaklumkan pagi tadi, pihaknya akan memohon kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya diadakan pilihan raya kecil (PRK) bagi tiga kawasan DUN di negeri itu berikutan berlaku kekosongan luar jangka yang menjejaskan majoriti kerajaan negeri.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button