Tak perlu panik, ini sebenarnya fungsi e-Invois untuk PMKS
KETIKA isu e-Invois mula dilaksanakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL) secara berperingkat di Malaysia, ramai golongan peniaga kecil dan sederhana (PMKS) menyuarakan kebimbangan mereka.
Daripada takut dikenakan cukai baharu sehinggalah risau kos operasi meningkat selain memikirkan sistem mungkin menjadi semakin rumit.
Hakikatnya, e-Invois bukanlah beban tambahan seperti yang disangka, sebaliknya satu langkah pendigitalan yang bertujuan memudahkan urusan perniagaan dalam jangka panjang.

Bagi meluruskan salah faham dan menjawab persoalan yang sering timbul, berikut penjelasan ringkas berkaitan pelaksanaan e-Invois dan manfaatnya kepada peniaga kecil.
Apa itu e-Invois dan mengapa ia diperkenalkan?
e-Invois merupakan invois digital yang dihantar secara terus ke sistem Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) untuk pengesahan segera setiap kali transaksi berlaku.
Ia adalah sebahagian daripada agenda pendigitalan negara bagi meningkatkan ketepatan rekod, ketelusan transaksi serta kecekapan pengurusan perniagaan.
Berbanding kaedah manual, e-Invois lebih pantas, tepat dan sistematik. Pendekatan ini juga mengurangkan kebergantungan kepada dokumen kertas, sekali gus memudahkan penyimpanan serta carian rekod perniagaan.
Adakah e-Invois satu cukai baharu?
Tidak. e-Invois bukan cukai baharu. Ia hanyalah kaedah baharu untuk merekod transaksi perniagaan.
Undang-undang cukai sedia ada kekal dan tidak berubah. Matlamat utama e-Invois adalah memperkemas dokumentasi serta meningkatkan ketelusan rekod kewangan.
Bagaimana pula isu resit dan dokumen bertimbun?
Melalui e-Invois, peniaga tidak lagi perlu menyimpan invois dalam bentuk fizikal.

Semua rekod disimpan secara digital dan boleh diakses dengan mudah apabila diperlukan.
Ini menjimatkan ruang, masa dan tenaga terutama ketika audit atau semakan kewangan dilakukan.
Pelaksanaan e-Invois secara berfasa
Bagi memastikan semua pihak mempunyai masa mencukupi untuk bersedia, pelaksanaan e-Invois dilakukan secara berperingkat sejak 2024:
- 1 Ogos 2024: Pendapatan/jualan melebihi RM100 juta
- 1 Januari 2025: RM25 juta hingga RM100 juta
- 1 Julai 2025: RM5 juta hingga RM25 juta
- 1 Januari 2026: Sehingga RM5 juta
Bagaimanapun, pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan kurang daripada RM1,000,000 adalah dikecualikan daripada pelaksanaan e-Invois.
Selain itu, kerajaan turut mengumumkan pengecualian sementara kepada pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan tertentu.
Namun, HASiL menggalakkan peniaga kecil menggunakan e-Invois secara sukarela kerana manfaat operasinya yang ketara.
Pilihan kaedah menghantar e-Invois
Bagi memudahkan pelaksanaan, peniaga diberi beberapa pilihan percuma:
1. Integrasi API melalui sistem perniagaan sedia ada
2. Portal MyInvois – untuk semakan, pengesahan, penolakan dan pembatalan invois
3. MyInvois e-POS – dibangunkan khusus untuk perusahaan mikro dan kecil bagi mengurus jualan, inventori dan invois

Pilihan ini membolehkan peniaga memilih kaedah yang paling sesuai dengan skala dan keperluan perniagaan masing-masing.
Adakah sistem akan perlahan jika ramai pengguna?
Proses pengesahan e-Invois lazimnya berlaku secara serta-merta.
Sistem HASiL direka dengan keupayaan autoscaling bagi menampung peningkatan trafik, selain dipantau secara berterusan oleh pasukan teknikal untuk memastikan kelancaran operasi.
Manfaat e-Invois kepada perniagaan
Antara kelebihan utama e-Invois ialah:
- Penjimatan kos pengurusan jangka panjang
- Rekod kewangan lebih teratur dan sistematik
- Risiko kesilapan manual dapat dikurangkan
- Penjimatan masa pengurusan
- Proses audit lebih mudah
- Membantu perancangan dan analisis perniagaan
Dengan sistem yang lebih tersusun, peniaga boleh memberi tumpuan kepada pertumbuhan jualan tanpa dibebani urusan rekod yang rumit.
Kesimpulan
Pelaksanaan e-Invois merupakan langkah penting ke arah membentuk ekosistem perniagaan Malaysia yang lebih moden, telus dan efisien.
Melalui panduan, platform percuma dan sokongan berterusan daripada HASiL, golongan peniaga termasuk PMKS dapat menyesuaikan diri dengan sistem ini secara berperingkat dan yakin.
Pendigitalan bukan lagi pilihan, sebaliknya satu keperluan untuk memastikan kelangsungan dan daya saing perniagaan pada masa hadapan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





















