BERITA SEMASA

KUSKOP perhebat bantuan PMKS hadapi tekanan konflik Asia Barat

SHAH ALAM – Kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mempergiat usaha membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terkesan akibat konflik Asia Barat melalui pelbagai inisiatif pembiayaan serta intervensi bersasar bagi memastikan kelangsungan perniagaan mereka terus terjamin.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin berkata, sektor PMKS antara paling terkesan susulan gangguan rantaian bekalan global.

Justeru katanya, beberapa langkah segera telah diputuskan melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), termasuk penstrukturan semula bayaran pinjaman.

“Kita akan terus memperhebat usaha ini dan menteri juga mengarahkan semua agensi turun padang bagi memahami keperluan sebenar PMKS.

“Selain itu, beberapa program sokongan tambahan akan dilaksanakan bagi memperkukuh daya tahan sektor ini,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Kerjaya dan Usahawan Pelajar Pembiayaan Pendidikan Yayasan Angkasa, di sini malam tadi.

Pada 21 April lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Bank Negara Malaysia (BNM) menyediakan kemudahan khas bernilai RM5 bilion untuk disalurkan kepada PMKS melalui sektor perbankan.

Langkah itu melengkapkan jaminan RM5 bilion di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP), sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan sokongan kewangan kepada sektor berkenaan mencecah RM10 bilion.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad berkata, pihaknya akan mendapatkan laporan daripada agensi terlibat mengenai pelaksanaan moratorium enam bulan yang ditawarkan kepada usahawan terjejas akibat kebakaran di Kampung Bahagia, Sandakan, Sabah, bulan lalu.

Katanya, bantuan itu melibatkan institusi seperti Bank Rakyat dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional, termasuk kemudahan penstrukturan semula pinjaman serta pembiayaan baharu bagi membantu mangsa memulakan semula perniagaan mereka.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button