JBPM siap sedia tambah gerak tenaga jika banjir kembali melanda
KUALA TERENGGANU – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) bersedia menambah gerak tenaga tambahan sebanyak 33 Pasukan Gerak Cepat (Red Team) khususnya ke negeri Pantai Timur jika banjir luar jangka kembali melanda.
Menurut Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad, pergerakan anggota dan aset dari negeri lain akan diatur bagi menampung keperluan dengan mengambil kira negeri yang teruk terjejas.
Katanya, ia bagi memastikan operasi menyelamat dan memindahkan mereka yang terjejas akibat bencana itu berjalan lancar.
“Setakat ini, Alhamdulillah, keadaan banjir bertambah stabil dan kita bekerjasama rapat dengan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) dan agensi penyelamat lain melihat kepada jangkaan hujan atau cuaca.
“Keadaan itu bagi membolehkan kita merancang pergerakan pasukan ke tempat yang kita jangka akan bertambah buruk kejadian banjirnya supaya kita dapat bersedia awal.
“Kita tidak mahu berada di satu-satu lokasi selepas menerima panggilan tetapi kita akan bersedia di lokasi-lokasi yang dijangka berlaku banjir.
“Ia bagi memastikan isu-isu berbangkit seperti kelewatan dan sebagainya yang disebabkan terputus jalan dapat diatasi dengan segera,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Tambah Nor Hisham lagi, pihaknya juga akan menggunakan helikopter ke kawasan yang terputus hubungan akibat bencana berkenaan.
Katanya, unit udara juga bersedia sedia untuk diaktifkan sekiranya bantuan aset darat dan air menghadapi masalah untuk ke kawasan yang terjejas akibat banjir.
“Kita juga akan terus memperkukuhkan kerjasama bersama agensi penyelamat yang lain bersama badan bukan kerajaan (NGO), swasta dan komuniti bagi melancarkan operasi menyelamat dan memindahkan mangsa,” ujarnya lagi.