BERITA SEMASA

JPN nafi dakwaan salah guna nombor MyKad

PUTRAJAYA – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menafikan dakwaan berlakunya penyalahgunaan nombor MyKad milik arwah bapa seorang individu seperti yang tular di media sosial, termasuk dakwaan ia melibatkan warga asing.

JPN berkata, hasil semakan terperinci mendapati dua individu yang dirujuk dalam paparan berkenaan merupakan warganegara Malaysia dan masing-masing mempunyai nombor MyKad yang berbeza.

“Semakan juga mengesahkan tiada sebarang unsur penyalahgunaan identiti, pengeluaran dokumen pengenalan secara tidak sah atau penglibatan warga asing seperti yang didakwa,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Terdahulu, tular satu hantaran di media sosial oleh seorang individu yang mendakwa nombor MyKad milik arwah bapanya digunakan oleh warga asing, susulan semakan Maklumat Wang Tidak Dituntut menerusi portal eGUMIS milik Bahagian Wang Tidak Dituntut (BWTD), Jabatan Akauntan Negara.

Hantaran berkenaan memaparkan dua nama berlainan hasil carian menggunakan nombor MyKad yang sama, sekali gus mencetuskan kekeliruan orang ramai.

Sehubungan itu, JPN menegaskan nombor MyKad milik arwah bapa individu terbabit adalah sah dan kekal didaftarkan atas nama arwah, selain waris boleh mendapatkan pengesahan rasmi di mana-mana pejabat JPN.

Menurut JPN, semakan silang turut dilakukan bagi memastikan ketepatan maklumat dan pengadu dinasihatkan supaya merujuk terus kepada BWTD untuk tujuan pengesahan serta tuntutan selaras dengan prosedur ditetapkan.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi, tuduhan tidak berasas atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan dan kebimbangan awam,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button